Apabila Vietnam berjaya membenam Indonesia 4-0, ia menggukuhkan lagi kedudukan Vietnam sebagai pendahulu carta Kumpulan G pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan kemenangan itu juga menambah keyakinan yang lebih tinggi kepada anak didik Park Hang-seo sebelum berhadapan Malaysia kelak.

Sudah pasti ia akan memberi lebih tekanan kepada Tan Cheng Hoe dan anak-anak didiknya untuk berhadapan dengan Vietnam apabila lawan mereka mula menunjukkan prestasi yang konsisten dan meyakinkan berdasarkan prestasi terkini yang dipamirkan.

Ini sudah tentu satu tugas yang berat menanti skuad negara memandangkan hanya dengan kemenangan sahaja ia dapat membuka peluang untuk mencari tempat ke Piala Asia 2023 sekurang-kurangnya.

Dengan keadaan terkini itu, ia memerlukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk bijak memgawal tekanan dan kegugupan apabila berhadapan dengan Vietnam nanti.





Pemain-pemain negara perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri selain fokus pada apa yang perlu mereka lakukan pada pertemuan itu. Barisan kebangsaan juga perlu membuat analisis tentang corak permainan dan formasi yang bakal digunakan Park Hang-seo.

Apabila Park Hang-seo tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya mereka iaitu Nguyen Quang Hai akibat pengantungan dan Nguyen Tuan Anh kerana kecederaan, ia tidak bermakna Park Hang-seo tidak mempunyai tipu muslihat dalam merencanakan corak permainan yang boleh menghancurkan harapan Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2023 kerana kita semua tahu kelicikkan Park Hang-seo menyusun strategi dan pandai bermain dengan perang psikologi.

Lihat sahaja bagaimana Park Hang-seo memulakan perang psikologi sebelum bertemu Indonesia lagi dengan menyatakan keyakinan beliau yang anak didiknya mampu menundukkan Malaysia.

Inilah yang perlu diperhalusi Tan Cheng Hoe dan rakan kejurulatihannya untuk memastikan anak didik mereka bijak dalam memperhalusi strategi dan taktikal Vietnam selain bijak dalam meresap tekanan emosi diri sendiri supaya tidak gopoh dalam melakukan tindakkan yang boleh membinasakan pasukan sendiri.

Mereka perlu bijak juga dalam melakukan perang psikologi terutama di luar dan di dalam padang supaya pemain-pemain Vietnam hilang fokus dan akhirnya melakukan kesilapan sehingga boleh memberi peluang pada Malaysia untuk membenam mereka.

Ciptalah peluang membuka ruang untuk Malaysia layak ke Piala Asia 2023 kerana anda semua mampu melakukannya.