Sejak mendapat jadual perlawanan Kejohanan AFF Bawah 19 tahun sebelum tiba membuat liputan di Hanoi, Vietnam, penulis memang berasa sedikit hairan dengan susunan yang dilihat sedikit berat sebelah buat pasukan negara.

Tidak termasuk aksi sulung berdepan Filipina, penulis kurang pasti mengapa situasi sedemikian boleh terjadi bila melihat skuad negara kendalian Frank Bernhardt terpaksa berdepan tiga kali pasukan yang sudah mendapat rehat tiga hari.

Sedangkan pasukan negara tidak mendapat kelebihan yang sama kerana hanya berehat selama satu hari dalam menghadapi empat perlawanan berturut-turut dalam tempoh lapan hari.

Bermula menentang Singapura yang tidak beraksi dari 12 hingga pada 14 September, kemudian Timor Leste, turut tidak turun beraksi selama tiga hari selepas menentang Vietnam dan akhir sekali, bertemu tuan rumah, yang mendapat kelebihan sama.

Menampakkan kesan pada pertemuan dengan Singapura bila pemain bergelut pada dua puluh minit baki permainan, akhirnya kebimbangan jadi kenyataan sebaik skuad negara tumbang 2-3 kepada Timor Leste.

Kesan sama iaitu kepenatan dijangka akan dilalui barisan muda negara bila bertemu Vietnam di Stadium Hang Day kerana tuan rumah mendapat kelebihan berehat selama 72 jam dan punyai kecergasan cukup optimum.

Dengan tiga pemain sudah mendapat kecederaan iaitu R. Dinesh, Hariz Kamaruddin dan Badrul Amin Rusalan, senarai kecederaan dijangka akan bertambah bila sebahagian pemain terpaksa beraksi empat perlawanan dalam lapan hari.

Memang kepada peminat di luar sana nampak perkara ini seakan remeh tetapi penulis yang memantau latihan pasukan negara setiap hari, nampak jelas keletihan yang dirasai pemain.

Sama ada ia satu kebetulan atau dirancang, penulis berasakan ia sepatutnya tidak terjadi kerana jelas situasi ini membunuh serba sedikit peluang pasukan negara beraksi pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.

Dalam masa sama, penulis tidak nafikan memang terdapat jurang antara pemain dalam kesebelasan utama dan barisan simpanan yang diberi peluang beraksi kali pertama.

Situasi itu sebenarnya membuka peluang kepada Timor Leste yang menang atas kesilapan mandatori dilakukan pasukan negara sendiri, bukan kerana lawan lebih berkualiti.

Kepada pemain-pemain terbabit, jangan disia-siakan peluang diberikan oleh jurulatih bila sudah diberi kesempatan beraksi dan gunakan sebaik mungkin.

Diharapkan anak buah Frank Bernhardt mampu bangkit pada pertemuan getir berdepan Vietnam sekaligus menempah tempat di separuh akhir AFF Bawah 19, sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian lalu.