Malaysia ada, China pun ada

Sharon Wee
Julai 19, 2019 04:28 MYT
Lee Zii Jia mengejutkan juara dunia dua kali dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, Chen Long dalam pusingan kedua, 21-16, 19-21, 22-20.
Keputusan luar biasa.
Tetapi tunggu, China pun buat kejutan melalui Huang Yu Xiang, yang mengalahkan pemain nombor 1 dunia, Kento Momota.
Apapun, bagi Zii Jia, pertemuan kali pertama berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 dari China itu cukup manis dengan persembahan penuh bertenaga, matang dan bijak.
Zii Jia pasti lega dengan kemenangan besar itu selepas pada April lalu meluahkan dia melalui masalah peribadi dan kewangan yang membuatkan pemain berusia 21 tahun kelahiran Kedah itu kurang motivasi untuk bermain.
Kejayaan Zii Jia mara ke suku akhir, pasti buat peminat badminton tempatan gembira kerana selepas Datuk Lee Chong Wei tidak beraksi kerana kurang sihat sehinggalah dia bersara, laporan tentang kemenangan pemain badminton sedikit sunyi.
Kini, harapan menggunung di atas bahu pemain nombor 16 dunia, Zii Jia, untuk meneruskan legasi Chong Wei.
Namun, dalam meraikan kejayaan cemerlang Zii Jia, pemain negara perlu bertenang dan terus bekerja keras kerana pencabar dari negara lain juga mencipta kemenangan besar.
China tidak risau pemain selebriti mereka, Lin Dan dan Shi Yuqi tewas, kerana mereka ada Huang Yu Xiang yang membungkus pemain nombor 1 dunia dan harapan Jepun untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti, Kento Momota, juga dalam pusingan kedua di hadapan beribu-ribu penonton fanatik Indonesia di Istora Gelora Bung Karno.
Bagus kita ada Lee Zii Jia yang meneruskan harapan negara.
Tetapi ingat, lawan lain juga turut berjuang habis-habisan.