Tanggal 3 September 2015 terpahat sebagai hari meratapi bola sepak Malaysia.

Skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh ketika itu disekolahkan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan pusingan kedua Kumpulan A, Piala Dunia 2018 Zon Asia di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi.

Ia mengatasi kekalahan teruburuk 8-2 kepada New Zealand dalam satu perlawanan antarabangsa di Kuala Lumpur, hampir 50 tahun terdahulu.

Namun, dalam memberikan keadilan, ia bukanlah satu perjalanan yang memihak Harimau Malaya – di tangga ke-169 – untuk mencabar tuan rumah yang berada 99 takuk di atas di tangga ke-70 dunia.



Sudahpun dikritik hebat gara-gara keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste (11 Jun 2015) dan kemudian dibelasah 6-0 oleh Palestin (16 Jun 2015) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Dollah terpaksa merombak skuadnya dengan menyertakan beberapa pemain lain.

Menjelang minit ke-25 pertemuan di Abu Dhabi itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, sudahpun terpaksa mengutip bola daripada pintu golnya sebanyak empat kali.

Masuk di tempatnya selepas itu ialah penjaga gol Perak, Zamir Selamat, yang bolos tiga gol lagi sebelum rehat separuh masa.



Menepati satu rekod tersendiri, Malaysia melakukan pertukaran kali ketiga di posisi penjaga gol selepas sejam permainan dengan menampilkan Khairul Azhan Khalid tapi UAE terus bernafsu menggenapkan 10 jaringan menerusi Ahmed Khalil (m-70, 78) dan Ali Ahmed Mabkhout (m-75).

Untuk diingati atas apapun alasan, skuad Malaysia malam itu menampilkan: 22-Khairul Fahmi Che Mat (1-Zamir Selamat 29') (23-Khairul Azhan Khalid 62'); 16-S. Kunanlan, 2-Afif Amiruddin, 15-Junior Eldstal, 6-Amirizdwan Taj Tajuddin (13-Razman Roslan 37'), 21-Zubir Azmi; 19-Wan Zack Haikal Wan Nor, 8-Safiq Rahim (k), 13-Nasir Basharudin, 12-Ahmad Hazwan Bakri; 17-Amri Yahyah.

"Saya tak tahu apa yang terjadi malam ini, terutama bahagian pertahanan. Kami beri gol-gol mudah. Tiga atau empat gol boleh dianggap gol mudah dan semuanya membawa kepada kemusnahan pasukan kami,” kata Dollah seperti dipetik laman web rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tambahnya: "UAE juga mempamerkan persembahan cukup baik, terutama (pemain no 10), Omar Abdulrahman, seorang pemain cukup hebat dan dia ternyata 'membunuh' setiap pemain kami.

"Saya tak jangka boleh kena sampai 10 gol. Memang saya tahu bukan mudah nak menang di sini dan sebab itulah saya letak sasaran mahu seri. Tapi dengan cara UAE bermain dan pemain kami pula, saya tak tahu apa jadi kepada mereka, segalanya musnah.”



Menyusuli rasa bertanggungjawabnya sendiri dan didorong kritikan menggila warga maya, Dollah meletakkan jawatan sekembalinya ke tanah air untuk tempatnya diambil alih oleh Datuk Ong Kim Swee selaku ketua jurulatih sementara yang menyaksikan skuad negara mengalahkan Timor Leste 1-0 (13 Okt 2015), tewas 0-6 sekali lagi kepada Palestin (12 Nov 2015) dan tewas tipis 1-2 kepada UAE (17 Nov 2015) di Stadium Shah Alam yang dilangsungkan tanpa penonton.

Menjelang pertemuan dengan UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok – seminggu melewati ulang tahun keempat ‘malam jahanam’ itu dengan lawan yang sama -- ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, tidak mahu fokus pemainnya terganggu dengan sebarang rekod buruk silam, termasuk insiden pergaduhan besar membabitkan skuad B-23 Malaysia dan UAE dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Ogos tahun lalu yang dimenangi 2-0.

"Kami tidak boleh biarkan faktor luaran mengganggu fikiran. Ia boleh menjejaskan prestasi pasukan. Kami tidak perlu fikir soal balas dendam, sebaliknya fokus untuk mendapatkan persembahan terbaik," katanya.

Namun, tiada salahnya untuk yang baik dijadikan teladan dan yang buruk itu diambil sebagai pengajaran.

Pengalaman pahit disekolahkan UAE 10-0 itu mungkin berguna untuk mengapi-apikan motivasi tambahan malam esok, dengan kapten, Farizal Marlias, di samping Matthew Davies dan Nazirul Naim Che Hashim selaku tiga pemain yang masih kekal daripada skuad pada 2015 itu.

Ayuh Harimau Malaya.