Persekutuan Bolabaling Malaysia (MAHF) kecewa dengan tindakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membatalkan status mereka sebagai ahli gabungan badan induk itu.

Tindakan itu dianggap sebagai tidak adil memandangkan MAHF dibarisi pegawai baru yang memenangi mesyuarat agung tahunan mereka tahun lalu.

Malah, keputusan menghalang skuad negara menyertai Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini dianggap akan menjejaskan imej sukan itu di mata rakyat Malaysia.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Presiden MAHF, Pandak Ahmad, berkata: "Kenapa pada zaman saya yang setahun ini baru diambil tindakan dan tidak ketika pentadbiran lama pada dua tahun lalu?

"Adakah ia kerana pimpinan lalu merupakan kerabat diraja, jadi MOM tidak boleh ambil tindakan?

"Tetapi apabila orang awam seperti saya mengambil alih pentadbiran ini, MOM boleh pula (mengambil tindakan).

"Ini pilih kasih namanya. (Daripada segi) pentadbiran pun MOM tidak membantu kami berbanding tahun-tahun lalu, jadi pada pandangan saya, tindakan ini memang tidak adil dan tidak sesuai buat masa ini," katanya.