Penyokong Manchester United seantero dunia pada waktu ini terdiam dan terpinga-pinga memikirkan apa sudah jadi dengan The Red Devils.

Bagaimana kelab yang sekalipun dahulunya tewas tetapi bermaruah sudah sekadar menjadi bahan jenaka setiap minggu kepada seteru lain.

Sudahlah tidak lagi terbaik di England, malah di Kota Manchester, United tidak lagi relevan apabila ada bicara membabitkan City di dalamnya.

Usah kata nak cabar kejuaraan liga, nak layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan pun seperti mustahil.

Rentetan keputusan hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini menyaksikan United lebih hampir dengan zon penyingkiran!

Maka igauan ngeri susulan persaraan Sir Alex Ferguson buat penyokong United sudah jadi realiti menyeksakan.

Sekalipun Ole Gunnar Solksjaer ditunjuk jalan keluar, belum tentu mimpi buruk ini akan berakhir dengan sekelip mata.

Sehingga hari ini saya masih berasakan, keputusan memecat David Moyes tidak sampai semusim khidmatnya sebagai satu kesilapan.

Memecat Louis Van Gaal sebelum dia sempat merealiasikan projek tiga tahun selepas memenangi Piala FA satu kesilapan.

Kesilapan paling besar adalah dengan tidak memberi sokongan penuh kepada Jose Mourinho untuk meneruskan kesinambungan menamatkan musim 2017/2018 sebagai naib juara.

Mengapa harus kesilapan pemegang taruh United memberi kesengsaraan kepada penyokong yang tidak berbelah bahagi menangani kekecewaan seperti ini.

Mungkin ini era mahagagal buat United, tetapi saya percaya kegagalan hari ini akan menjadi pencetus kebangkitan satu hari nanti.

Biarlah bukan dalam hayat saya sekalipun.

Ada yang memetik fakta Liverpool sudah 30 tahun tidak menikmati perasaan menjadi juara England.

Biarkanlah Liverpool berantakan, Ini UNITED.

Glory-Glory Manchester United.