Mungkin Sepanyol kini bernafas lega selepas dipaksa mengerah keringat dan kudrat selama 120 minit sebelum mengatasi Croatia dan menjamin langkahan ke suku akhir Euro 2020 kali ini.

Bukan menidakkan wibawa Luis Enrique dan anak buahnya, tetapi aksi di Stadium Parken, Copenhagen itu juga diingati kerana bijaknya perancangan penuh berisiko jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.

Dalic pernah dilabel gila sewaktu bersetuju untuk mengubati skuad Croatia yang tenat pada Oktober 2017.

Lebih gila apabila pengendali kelahiran Bosnia & Herzegovina ini bukan sahaja mengotakan janji mengemudi Croatia layak ke Piala Dunia 2018, tetapi mencipta gegar muncul finalis yang memaksa Perancis ‘berpeluh’ sebelum muncul juara.

Sejarahnya sebagai pemain tidaklah segah mana tetapi rekod selaku jurulatih selama hampir 10 tahun di bumi Arab memang diakui memiliki sentuhan ‘magis’.

Buktinya? Kelab terakhir dibimbingnya di Emiriah Arab Bersatu, Al-Ain, mencetus transformasi apabila melonjak daripada tangga ke-335 untuk menduduki kedudukan ke-122 senarai kelab dunia!

Selepas Piala Dunia 2018, ranking Croatia memang menurun ekoran prestasi hambar di Piala Negara-negara. Malah selepas kekalahan di tangan England, Croatia ibarat bakal mudah tenggelam di Euro kali ini.

Cuma percaturan Dalic memastikan pulangnya mereka, biarpun awal, tetap diingati.

Selepas gol pembukaan dek jaringan sendiri Pedri, Sepanyol tampak langsung tidak terjejas dalam laluan menjelmakan tiga jaringan menerusi Pablo Sarabia, Cesar Azpilicueta dan Ferran Torres.

Ketika semua menyangka sengsara milik Croatia, Dalic hanya menanti Luis Enrique merehatkan seorang demi seorang pemain utamanya, sebelum merombak perancangan strateginya.

Memang gila apabila pemain gentian, Mislav Orsic seakan memulakan ‘perang’ dengan gol pada minit ke-85 untuk merapatkan jurang 3-2.

Berselang 7 minit, seorang lagi pemain gantian, Mario Pasalic - pemain Chelsea yang dipinjamkan ke Atalanta - menggunakan ketajaman tandukannya untuk mengikat kedudukan 3-3.

Sayangnya, masa kecederaan yang berbaki tidak cukup untuk menjelmakan gol kemenangan mereka.

Akibatnya, Sepanyol sempat ‘reset’ permainan dalam masa tambahan dan akhirnya muncul pemenang.

Semangat juang Croatia pastinya dirindukan dan perancangan luar biasa Dilic belum pasti boleh disaksikan lagi di pentas Euro akan datang.

Selamat berehat Croatia!