“Kami tidak akan biarkan City menjadi juara dengan mudah!” laung Ole Gunnar Solskjaer.

Kata-kata itu diluahkan selepas menyaksikan Manchester United kendaliannya tercicir dua mata apabila terikat 1-1 menentang West Bromwich Albion yang sepatutnya menjadi belasahan buat mereka malam tadi.

“Kami akan berhadapan dengan Manchester City tidak lama lagi dan kami pastinya tidak akan menyerah kalah pada detik ini.

“Musim ini penuh dengan perkara yang tidak dijangka, jadi sudah pastinya kami tidak akan berpuas hati dengan sekadar tempat kedua.

“Namun, sejujurnya saya kecewa. Kami benar-benar memerlukan tiga mata tetapi mendapat satu sahaja.

“Kami perlu memanjat ke puncak liga tetapi kami tidak mungkin dapat melakukannya dengan sekadar satu mata sahaja,” tambahnya.



Solskjaer turut menyalahkan sistem video bantuan pengadil (VAR) kerana gagal menghadiahkan sepakan penalti kepada United selepas Harry Maguire dikasari di dalam kotak penalti oleh penyerang dari Senegal, Semi Ajayi.

Kenyataannya itu turut disokong oleh Maguire sendiri yang mendakwa bahawa gol pembukaan West Brom sepatutnya tidak dikira kerana pemain penyerang, Mbaye Diagne, telah terlebih dahulu mengasari Victor Lindelof.

Dalam temu bual pasca perlawanan bersama MUTV, Maguire meluahkan rasa geramnya dan mengeluarkan satu kenyataan penuh kontroversi.

“Kebelakangan ini ada banyak pasukan lain yang mengatakan pasukan kami diberikan layanan khas oleh pengadil.

“Semenjak itu, kami langsung tidak mendapat sebarang keputusan yang adil, sama ada daripada pengadil mahupun sistem VAR.

“Nampaknya kami harus bergantung sepenuhnya kepada kekuatan sendiri dan tidak boleh menyerahkan nasib kepada pengadil mahupun sistem ulang tayang lagi,” katanya.

Kata-katanya ini disusuli satu lagi kenyataan yang cukup melucukan sewaktu temu bual bersama Sky Sports.

Kata Maguire: “West Brom adalah satu pasukan dengan pertahanan yang kukuh, jadi mustahil untuk mana-mana pasukan datang ke halaman mereka dan mencipta 10 peluang untuk menjaringkan gol.”

Menurut laman sesawang soccersats.com, bermula dari tanggal 8 November 2020 hingga 2 Februari 2021, setiap pasukan yang bertandang ke gelanggang West Brom berjaya mencipta lebih daripada 10 percubaan dalam setiap perlawanan.

Ternyata apa yang berlaku adalah United tidak cukup tajam dalam aksi mereka dan kata-kata Maguire tidak lebih sekadar alasan semata-mata.

Pengulas Sky Sport serta bekas pemain Liverpool, Graeme Souness, tidak melepaskan peluang untuk mengamburkan kata-kata pedasnya.



“Maguire kata halaman West Brom adalah tempat yang sukar untuk memperoleh kemenangan?

“Dia tak tahu ke yang West Brom cuma berjaya menang sekali di halaman sendiri baru-baru ini, itupun menentang pasukan di tangga tercorot!

“Ini ke tempat yang sukar untuk menang sedangkan United berada dalam kelompok tiga pasukan teratas?”

Semoga United terus memperbaiki prestasi dan memberikan cabaran kepada seteru utama mereka untuk merangkul kejuaraan musim ini, bukannya memberikan lebih banyak alasan yang tidak masuk akal pada masa akan datang.