"Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri, maaf tidak dibenarkan".

Itu antara perutusan khas yang disampaikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei lalu yang masih terngiang-ngiang di telinga saya terutama versi video yang telah disunting dengan alunan lagu raya, 'Dari Jauh Ku Pohon Maaf' nyanyian Allahyarham Sudirman.

Nampak lucu serta mencuit hati tetapi klip video tersebut mengundang rasa hiba kepada mereka yang berada di perantauan.

Jelas, arahan kerajaan sejak 18 Mac lalu dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam negara ini bukan sahaja mengubah rutin harian semua pihak, malah buat kali pertama, kebiasaan sambutan Hari Raya turut bertukar sepenuhnya.

Budaya balik kampung mahupun jamuan rumah terbuka terpaksa dilupakan tahun ini susulan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKPB dilanjutkan, sehingga 9 Jun depan sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri tidak dibenarkan.

Ia menjadikan sambutan raya kali ini agak suram buat anak-anak yang berada di perantauan dan tidak terkecuali pemain bola sepak tempatan yang beragama Islam. Ramai di kalangan mereka terpaksa beraya di perantauan kerana terperangkap di negeri dan tempat mereka bermain.

Misalnya, bintang sensasi Johor Darul Takzim, Safawi Rasid yang tidak dapat pulang ke Dungun, Terengganu untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebaliknya terpaksa beraya di Johor selain Aidil Zafuan Abdul Radzak yang turut tidak dapat pulang ke Seremban, Negeri Sembilan tahun ini.

Turut berkongsi cerita menyedihkan menjelang Syawal ialah pemain Kuala Lumpur Azman Chuchu yang merupakan adik kepada bekas pemain skuad bawah 23 tahun negara, Ashri Chuchu apabila terpaksa menyambut Aidilfitri kali ini tanpa keluarga tercinta di Ibu Kota.

Situasi yang cukup hiba buat Azman kerana tidak dapat mencium tangan ayah bonda di pagi raya, apatah lagi merasa juadah istimewa yang disediakan di pagi raya memandangkan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh itu.

Mungkin agak sayu, lebih-lebih lagi apabila berkumandang lagu 'Dendang Perantau' di corong radio, namun inilah normal baharu aidilfitri yang terpaksa kita hadapi bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dari saya Zulhelmi Zainal Azam.