Kekalahan Harimau Malaya kepada Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 10 Oktober lalu jelas menyukarkan harapan peminat untuk melihat kemaraan skuad negara lebih jauh dalam kempen kali ini.

Ia jelas membuktikan kebenaran pandangan penulis sebelum ini bahawa Piala Asia adalah sasaran lebih realistik buat skuad negara meskipun Malaysia diletakkan sekumpulan dengan seteru serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melengkapkan Kumpulan G.

Vietnam jelas membuktikan mengapa ketika ini mereka adalah negara Asia Tenggara di ranking dunia terbaik (99 dunia) apabila tetap berupaya menewaskan Malaysia 1-0 meskipun tidak beraksi di tahap terbaik.

Pengendali Vietnam, Park Hang-seo, jelas seorang pakar taktikal yang mengkaji dengan mendalam kekuatan serta kelemahan pasukan negara sebelum aksi di Hanoi tempoh hari.

Bukan hendak merendahkan keupayaan Thailand tetapi jelas Vietnam selaku juara Piala Suzuki AFF 2018 kini lebih ampuh dalam kalangan negara ASEAN yang lain dan barisan negara perlu menggandakan usaha dalam meraih tiga mata untuk aksi kelayakan seterusnya berdepan Thailand dan Indonesia bulan depan.

Penulis percaya barisan negara kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu untuk sekurang-kurangnya menduduki tepat ketiga Kumpulan G yang membolehkan Malaysia ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Selepas tiga aksi kelayakan, prestasi barisan negara sedikit menurun ketika berdepan Vietnam selepas cemerlang mengatasi Indonesia 3-2 di Jakarta dan beraksi baik sebelum tumpas tipis 2-1 di tangan UAE di Bukit Jalil sebelum ini.

Tiga pemain berdarah kacukan, Brendan Gan, Matthew Davis, Corbin Ong dan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, beraksi baik secara keseluruhannya meskipun seperti pemain lain, prestasi mereka turut merudum berdepan Vietnam.

Justeru, setiap pemain perlu segera sedia mengerah segala kudrat apabila berdepan Thailand dan Indonesia selepas ini dengan kemenangan wajib dirakam jika mahu ke Piala Asia 2023.

Pemain tonggak lain dalam skuad negara seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Shahrul Saad juga perlu mengembalikan prestasi ketika aksi berdepan Indonesia dan UAE apabila berdepan Thailand.

Cheng Hoe hanya berupaya mencanang taktikal terbaik, tetapi ia terserah kepada pemain sama ada mampu untuk menterjemahkan apa yang dirangka jurulatih apabila beraksi di atas padang.

Kredit foto: FAMalaysiaOfficial