Ketua Pegawai Eksekutif, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, M. Kumaresan, mampu menarik nafas lega selepas tiada sebarang insiden yang dapat menjejaskan penganjuran perlumbaan berprestij di Asia itu.

Cabaran besar buat penganjur, Ciclista Sports Sdn Bhd, ialah apabila mereka mempunyai tempoh yang cukup singkat untuk persiapan perlumbaan yang memasuki edisi ke-23 itu.

Ia termasuk mencari tajaan di samping perubahan laluan yang dilakukan sebulan sebelum perlumbaan membuka tirai.

Namun, segalanya dilaksanakan dengan baik oleh mereka dan Kumaresan menyifatkan penganjuran kali ini menepati jangkaan yang telah ditetapkan.

"Saya berpuas hati kerana kami mengikut apa yang perlu kami lakukan. Semuanya berjalan mengikut jadual.

"Untuk pertama kali saya lakukan, sebagai satu pasukan, saya bangga kerana berjaya menganjurkan kejohanan yang baik," katanya.

Tumpuan juga tetap terarah kepada penganjur untuk memastikan mereka mampu menyerahkan semua wang kemenangan kepada pelumba dan pasukan seperti yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak menolak keperluan untuk mempunyai penaja yang lebih banyak andai saingan LTdL ini diteruskan lagi tahun depan.

"Beliau (Khairy) ada beritahu kalau nak anjurkan perlumbaan yang bagus perlu bermula dari sekarang, mencari penaja dan sebagainya.

"Kalau mahu buat persediaan awal, kami juga perlu mendapat surat persetujuan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk melakukannya. Sebab penganjuran kali ini, kami dapat agak lewat," kata Kumaresan.