Tiga perlawanan terakhir membabitkan pasukan Real Madrid menyaksikan mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan. Paling dirasai sudah pasti pertemuan berdepan Sevilla di mana mereka tumbang 3-0 di laman lawan selain kecewa gagal mengutip 3 mata berharga untuk saingan Liga Juara Juara Eropah berdepan CSKA Moskva. Satu lagi perlawanan dengan musuh setempat, Atletico Madrid, menyaksikan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.

Sudah pasti pengendali baru Real Madrid, Julen Lopetegui, pening memikirkan formasi dan taktikal terbaik memandangkan persembahan Real Madrid kebelakangan ini seperti kurang sengat.

Andai ditanya kepada penulis mengapa hal ini terjadi, salah satu jawapan sudah tentu adalah kerana penghijrahan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo yang meninggalkan Santiago Bernabeu dan menyertai pasukan Serie A, Juventus. Namun, harus diingat bahawa bola sepak adalah permainan berpasukan, jadi kehilangan tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain adalah perkara biasa dalam bola sepak.

Ada juga pihak yang mempertikaikan taktikal yang diterapkan Lopetegui kerana dikatakan terlalu berhati-hati dalam melakukan serangan sehingga penyerang utama, Karim Benzema, ketandusan gol dalam enam perlawanan terakhir.

Penulis berpendapat Sergio Ramos harus segera memimpin rakan-rakannya di atas padang untuk kembali tampil dengan prestasi sebenar selain mengelakkan berlakunya kesilapan mudah. Sewaktu berdepan Sevilla, kubu Real Madrid diasak hebat sehingga tiada ruang untuk mereka melakukan serangan balas. Manakala dalam pertemuan menentang CSKA Moskva, kesilapan Toni Kroos yang menghantar bola ke belakang telah menghadiahkan pihak lawan satu-satunya gol kemenangan mereka.

Bagi perlawanan akan datang, Real Madrid akan berdepan Deportivo Alaves dan Levante dan sudah tentu mereka mahu mengutip mata penuh memandangkan Real Madrid kini berada di tangga kedua liga, berkongsi mata dengan pendahulu, Barcelona . Kekalahan hanya akan menyebabkan mereka semakin ketinggalan dan Presiden Real Madrid, Florentino Perez, pasti tidak mahu perkara sebegitu terjadi.