Manuel Locatelli mengakui perbincangan mengenai Juventus yang berminat mendapatkan khidmatnya cukup menggembirakan, tetapi pemain tengah Sassuolo itu masih lagi belum memikirkan tentang masa depannya selepas membantu Itali menjuarai Euro 2020.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi lima kali buat Azzurri, termasuk beraksi sebagai pemain gantian ketika final bertemu England.

Dia menjaringkan dua gol buat Itali dalam peringkat kumpulan ketika bertemu Switzerland dan produk akademi Milan itu menampilkan aksi cemerlang apabila melakukan lebih banyak asakan dalam tempoh 90 minit (2.32) dalam saingan Euros berbanding mana-mana pemain itali, diikuti Marco Verratti (2.02) dan Federico Bernardeschi (1.42).

Penampilannya telah berjaya menarik minat gergasi Itali Juventus dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Pengarah Sassuolo, Giovanni Carnevali, berkata terdapat minat yang ditunjukkan terhadap Locatelli, yang dikhabarkan bernilai sekitar EURO50 juta.

Locatelli, yang sebelum ini menjadi buruan kelab LaLiga, Real Madrid dan Atletico Madrid, belum mempertimbangkan langkah kerjaya seterusnya.

"Saya belum memikirkannya," katanya kepada Sky Sport Italia. "Saya telah bermain untuk pasukan kebangsaan dan memberikan yang terbaik di Euro.

"Saya harus memberikannya semua untuk negara Itali yang mengikuti perjalanan kami, walaupun dari jauh. Selepas meraikan kemenangan ini, kita akan melihat haluan masa depan saya."

Ditanya secara khusus mengenai hubungan dengan perpindahan ke Juventus, yang baru-baru ini melantik Massimiliano Allegri sebagai ketua jurulatih, Locatelli berkata, "Mereka pasukan yang hebat. Minat mereka menggembirakan, saya selalu mengatakannya.

"Tetapi sekarang saya bersama pasukan kebangsaan, masih bersorak meraikan kemenangan Itali."