Liverpool berkunjung ke Old Trafford selaku penyandang juara Eropah dan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) tapi masih tidak mampu mengalahkan Manchester United.

Perdebatan mengenainya boleh berlanjutan beberapa hari lagi -- sama ada gol Marcus Rashford patut dibatalkan, gol Sadio Mane patut dibenarkan dan sama ada keputusan 1-1 selepas tengah malam tadi, adil buat kedua-dua pasukan atau sebaliknya.

Apapun hujah dan perdebatan akan dilupakan dalam sesingkat masa tapi fakta perlawanan akan kekal sampai bila-bila.

Faktanya -- United adalah pasukan pertama yang berupaya mencuri satu mata daripada Liverpool musim ini, bahawa ikhtiar The Reds untuk menyamai rekod 18 kemenangan berturut-turut dalam liga milik Manchester City tersekat dan bahawa mereka tidak pernah menang di Old Trafford sejak 2014.



Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, difokus kamera televisyen tidak berhenti berkata-kata kepada pembantu pengadil keempat, Jon Moss, di tepi padang sepanjang perlawanan berbanding meneriakkan arahan kepada pemainnya sendiri.

Demikian besarnya kegelisahan Klopp hingga tumpuannya lebih untuk mempertikaikan pengadil, Martin Atkinson, dan mempersoalkan keputusan video bantuan pengadil (VAR) berbanding mengakui kehambaran pasukannya sendiri.

Namun, sebanyak mana pun hujah yang dihamburkannya, ia tetap tidak akan mengubah keputusan perlawanan bahawa Liverpool meraih satu mata tapi pada hakikatnya kehilangan dua mata berharga.



Cuma, mujur ia tidak menjejaskan kedudukan mereka selaku pendahulu di sebalik jurang dengan City di tangga kedua kini berkurangan kepada enam mata berbanding lapan sebelumnya.



Untuk sebuah pasukan di tangga teratas liga terpaksa berkongsi mata dengan United, pasukan di tangga ke-12 liga sebelum sepak mula, ia tentunya lebih menyakitkan buat mereka.

Seorang yang kecewa akan berkata apa saja dan hakikat itu tidak dapat dipisahkan daripada Klopp yang harus berbohong jika mengatakan dia tidak mengharapkan tiga mata daripada perlawanan malam tadi.

"Ia adalah satu fakta bahawa apabila kami datang ke sini, mereka (United) hanya bertahan. Tidak mengapa, tiada sebarang kritikan, ia hanya fakta,” katanya selepas perlawanan seperti dipetik oleh Metro UK.

"Apabila United menentang Liverpool, kebiasaannya anda akan fikir kedua-dua pasukan akan bermain dengan cuba untuk menang. Tapi mereka hanya bertahan.”

Tapi ia juga satu fakta bahawa Liverpool belum pernah menang di Old Trafford yang berlanjutan lima tahun lamanya – dan ia harus satu pujian buat pasukan tuan rumah itu.

Dengan mengetepikan segala isu kontroversi dalam perlawanan malam tadi, pengulas pelbagai saluran televisyen bersepakat bahawa Liverpool beraksi di bawah tahap sebenar mereka, dengan United tampil sebagai pasukan lebih baik dalam separuh masa pertama.

“Kami seharusnya lebih baik,” akui kapten, Jordan Henderson. “Separuh kedua, kami meningkat sedikit dan mahu menang perlawanan ini. Jika anda tidak mampu menang, pastikan jangan kalah.”

Dalam gembur-gembur sebelum perlawanan, penyokong Liverpool cuba memperlekeh lawan dengan memuat naik foto melalui Twitter beberapa pemain The Reds bermain bola keranjang sewaktu latihan.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memilih cara terbaik untuk menempelaknya.

Ditanya jika gol Rashford patut dibatalkan kerana kekasaran terdahulu Victor Lindelof ke atas Divock Origi sebelum gerakan yang menghasilkan gol pendahuluan pada minit ke-36 itu, ini jawapannya:

“Tidak mungkin, kami bukannya bermain bola keranjang! Lindelof ada menyentuh Origi tapi ia bukan satu faul yang jelas.”

Hanya sehari sebelum perlawanan itu, Klopp menepis segala gembar-gembur pasukannya akan menang mudah di Old Trafford umpama jenaka dan melontarkan kulit pisang.

Tidak silap kesangsiannya kerana kesebelasan Liverpool yang bergelut malam tadi umpama terpijak kulit pisang di Old Trafford.