Apa yang ditinggalkan Liverpool ketika ia dijulang sebagai juara Eropah 2019 ialah dua bintang bola sepak dunia yang sekadar berebutkan kerepek kentang Lays.

Bukannya calang-calang tetapi pemenang Ballon D’Or lima kali, Lionel Messi, dan penjaga gol Manchester United, David de Gea, yang tidak lebih sebagai penonton kali ini.

Tidak cukup dengan itu, dua bekas pengurus ternama yang kini bergelar penganggur terhormat pula, berebut-rebut untuk mencungkil di mana cacat-cela Liverpool, seolah-olah kejayaannya kurang diiktiraf.



Anehnya, semua itu di sebalik kejayaan bersejarah The Reds, yang kali keenam menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) selaku pasukan Inggeris paling berjaya – mengatasi Manchester United (tiga kali), Nottingham Forest (dua sekali) serta Chelsea dan Aston Villa (masing-masing sekali).

Sebagai rekod, Liverpool adalah pasukan Inggeris pertama yang berjaya mengekalkan piala itu dengan kemenangan berturut-turut pada 1977 dan 1978 di samping turut bergelar juara pada 1981, 1984, 2005 dan 2019.

Forest adalah satu-satunya pasukan Inggeris lain yang turut melakukannya pada 1979 dan 1980.

Menurut laman rasmi UCL, pasukan yang memenangi trofi itu tiga tahun berturut-turut atau lima kali keseluruhannya, turut menerima “lencana juara berulang kali”.

Cuma enam pasukan yang pernah mendapat pengiktirafan itu -- Real Madrid, Ajax, Bayern Munich, Milan, Liverpool dan Barcelona.

Manchester United lambat-laun akan menyusul… itu pasti!



Sejak 2009 pula, kelab yang meraih lencana juara berulang kali itu turut menerima replika saiz sebenar Piala Eropah, dengan trofi yang asli disimpan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Sejumlah 22 kelab telah memenangi Piala Eropah/UCL sejak 1956, didahului oleh Real Madrid dengan rekod sebanyak 13 kali di samping memegang rekod memenanginya paling banyak secara berturut-turut – lima kali dari 1956 hingga 1960.

Daripada sudut kejayaan sesebuah negara pula dalam sejarah UCL, Sepanyol adalah yang teratas dengan 18 kejuaraan melalui dua kelab, Itali membekalkan 12 pemenang melalui tiga kelab manakala England boleh berbangga dengan 13 juara melalui lima kelab.



Tapi tengoklah gelagat Jose Mourinho dan Arsene Wenger – dua pengkritik yang ditampilkan dalam siaran langsung beIN Sports, awal pagi tadi – yang tidak mahu terlepas memperlekehkan kejayaan Liverpool.

Mourinho, yang dipecat United, Disember lalu, mendakwa pendekatan defensif Jurgen Klopp telah merosakkan kualiti final UCL menentang Tottenham, kononnya kerana arahannya supaya barisan tengahnya bermain rapat dengan Joel Matip dan Virgil van Dijk, telah membataskan jumlah serangan Liverpool.

Wenger pula menyifatkan Liverpool sekadar sebuah pasukan yang biasa-biasa di samping menyalahkan Tottenham kerana tidak bermain dengan kepercayaan terhadap kemampuan sebenar mereka.

“Pada penghujungnya, final ini diputuskan oleh dua situasi bola mati – satu penalti dan satu sepakan sudut. Saya secara peribadi percaya ia adalah sebuah pasukan Liverpool yang biasa-biasa saja,” katanya.

Mourinho menambah: “Tiga percubaan dalam 90 minit dan dua gol. Tapi disebabkan ia adalah final UCL yang memiliki sisi emosinya, setiap final UCL menjadi satu perlawanan istimewa.

“Tapi kualiti permainan tidak bagus dan saya percaya Tottenham harus berasa kecewa kerana mereka tidak menyerlahkan keupayaan sebenar lantaran perlawanan sebesar ini menuntut anda berada di tahap terbaik.”

Apa yang tidak boleh dinafikan mereka ialah Klopp kini akhirnya bergelar seorang pemenang trofi UCL – hampir setaraf dengan Mourinho dan jauh mengatasi Wenger.

Seperti De Gea dan Messi, kedua-duanya patut lebih mengunyah kerepek kentang Lays.