Skuad Liverpool terbaik dalam sejarah sepanjang zaman!

Pasti ada yang kurang bersetuju tetapi ia nampaknya telah menjadi satu kata sepakat di kalangan bekas pemain profesional dan juga legenda Liverpool sendiri.

2-0 merupakan skor akhir di Anfield sewaktu Liverpool menewaskan Villarreal di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi, tetapi dominasi yang The Reds tunjukkan begitu mengerikan dan tiada sesiapa yang harus terkejut jika perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan yang lebih berat sebelah lagi.

Menurut statistik akhbar The Guardian, Liverpool mencatatkan penguasaan bola setinggi 74 peratus dan melakukan sebanyak 19 percubaan ke gawang lawan manakala Villarreal sekadar mampu mencatatkan satu percubaan, itu pun bukan percubaan tepat.



Anak buah Unai Emery hadir dengan persiapan rapi, mereka mantap daripada segi fizikal, memiliki disiplin yang tinggi dan terurus daripada aspek strategi.

Buat 45 minit pertama, mereka mampu untuk bersaing secara terus dengan Liverpool dan menahan serangan bertalu-talu yang mendatang.

Malangnya, gelombang merah berterusan melanda dan tempoh dua minit ternyata lebih daripada mencukupi untuk membenam Villarreal.

Satu serangan yang dimulakan oleh Thiago Alcantara membolehkan Mohamed Salah melorongkan bola kepada kapten Jordan Henderson dan atas faktor nasib semata-mata, hantaran silangnya terbias daripada pemain pertahanan Villarreal, Pervis Estupinan, lalu masuk ke gawang -- 1-0.

Selang dua minit, Salah sekali lagi melakukan satu hantaran cantik melepasi dua pemain pertahanan Villarreal, membolehkan Sadio Mane menyelusup masuk dan melakukan tonjolan mudah untuk membolosi jaring lawan sekali lagi -- 2-0 dalam dua minit, dan jaringan itu meletakkan Mane sebaris dengan penyerang legenda Chelsea, Didier Drogba, daripada jumlah gol yang dijaringkan dalam Liga UCL.



Dalam analisisnya bersama saluran televisyen BT Sport, bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand, dengan jelas melabelkan skuad Liverpool ini sebagai pasukan terbaik yang pernah disaksikannya.

Bekas penyerang Liverpool, Michael Owen, pula berkata bahawa Villarreal pastinya tertanya-tanya apakah yang melanda mereka sejurus selepas perlawanan tamat -- kekuatan Liverpool adakalanya sukar untuk dihadam akal.

Menariknya, pengurus Villarreal, Emery, berjanji bahawa keadaan akan sama sekali berbeza apabila Liverpool bertandang ke Sepanyol minggu depan dan berazam yang pasukannya akan membuat Liverpool menderita.

Jika dilihat betapa berat sebelahnya keputusan awal pagi tadi, kata-kata itu boleh dianggap sebagai satu jenaka tetapi gurauan sebeginilah yang menyaksikan pasukan sekuat Bayern Munich tewas mengejut di peringkat sebelum ini.

Sambil itu, perjuangan Liverpool memburu empat trofi musim ini berterusan.