Ketiadaan ketua pasukan dan penyerang prolifik Tottenham Hotspur, Harry Kane, dalam kesebelasan utama ketika bertemu Liverpool akibat kecederaan hamstring mengurangkan sengat di bahagian hadapan Spurs.

Ini dapat dilihat dalam perlawanan yang berlangsung pada pagi tadi di mana peluang-peluang yang dimiliki Spurs sepanjang perlawanan itu tidak dapat disempurnakan dengan baik oleh penyerang Spurs seperti Son Heung-min dan Lucas Moura.

Bermain dihalaman sendiri, Spurs masih lagi gagal untuk menguasai permainan dan mencipta kemenangan sebaliknya, anak-anak buah Jorgen Klopp berjaya mendominasi perlawanan.

Dengan formasi 4-3-3, ia memberikan kelebihan kepada Liverpool ketika menyerang di mana pemain-pemain hadapan Liverpool seperti Roberto Firmino, Mohammed Salah dan Sadio Mane sentiasa memberikan tekanan dan bergerak membuka ruang untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan di bahagian tengah melakukan hantaran.

Pada minit-minit awal separuh masa pertama, Firmino hampir membuka jaringan untuk Liverpool, namun percubaan yang dilakukannya berjaya ditangkis penjaga gol Spurs, Paulo Gazzaniga.

Tetapi itu tidak mematahkan semangat pemain-pemain Liverpool untuk terus menekan Spurs dan akhirnya Liverpool berjaya melakukan jaringan melalui Firmino menerusi satu rembatan dalam kawasan penalti pada minit ke 37 gara-gara kealpaan pertahan Spurs dan jaringan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, Jose Mourinho merubah strategi menyerang dan corak permainan walaupun masih mengekalkan formasi 4-4-2 untuk mengimbangi perlawanan.

Akhirnya, Spurs berjaya menyaingi permainan Liverpool. Beberapa peluang terbuka dimiliki Spurs melalui Son dan Dele Alli, namun tidak dapat disempurnakan mereka.

Walaupun Spurs cuba bangkit di hadapan penyokong sendiri, mereka masih gagal untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ke-14 Liverpool dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu terus mengekalkan Liverpool di tangga teratas liga dengan kelebihan 16 mata dengan Leicester City ditangga kedua.

Ini memberikan kelebihan kepada Liverpool untuk memburu kejuaraan liga musim 2019/2020 setelah mereka gagal pada musim lalu dan ini dengan kemenangan ini akan terus memberikan keyakinan kepada pemain-pemain Liverpool untuk terus memberi aksi yang cemerlang.