Peluang untuk mengutip mata penuh di Stamford Bridge tidak menjadi kenyataan untuk Liverpool apabila hanya mampu memungut satu mata setelah Chelsea berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dalam tempoh lima minit terakhir separuh masa pertama.

Tetapi keputusan itu telah menarik nafas lega peminat Liverpool kerana ketiadaan beberapa pemain utama dan pengendali The Reds, Jurgen Klopp, disebabkan positif COVID-19 tidak langsung mengganggu keyakinan mereka.

Namun, pemain-pemain Liverpool perlu memperbaiki taktikal bertahan secara perpasukan terutama ketika transisi pantas dilakukan lawan.

Itu yang telah berlaku dalam beberapa perlawanan terutama ketika menentang The Blues dan mereka agak sedikit lambat memberi tekanan awal dan ia telah memberi ruang kepada pemain Chelsea untuk mencaturkan gerakkan.

Daripada segi statistik perlawanan itu, 13 kekasaran telah dilakukan dan ini menunjukkan seolah-olah pemain The Reds terpaksa melakukan kekasaran untuk menyekat larian-larian lawan.




Bagi Manchester United pula, ini merupakan kekalahan keenam musim ini dan yang pertama di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Kekalahan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepadanya kerana peminat-peminat The Red Devils dahagakan kejayaan.

Ini satu tugas yang mencabar bagi pengendali dari Jerman itu untuk mengembalikan reputasi Man United.

Walaupun dia cuba untuk menerapkan perubahan falsafah menerusi pemain-pemain sedia ada, ia pasti memakan masa.

Tetapi ia bukan penghalang sebenarnya untuk Rangnick bangkit bersama anak didiknya sekiranya khidmatnya mendapat sokongan daripada pemain-pemain ternama selain keharmonian dan semangat berpasukan dapat dikekalkan.

Tidak mustahil untuk mereka menerima dan menyesesuaikan diri dengan falsafah bola sepak yang diterapkan Rangnick.

Ia memerlukan sedikit masa kepadanya untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Namun, kekalahan kepada Wolves membuatkan Man United sedikit merana kerana tewas di gelanggang sendiri.

Ini satu pemangkin kepada pemain-pemain Man United untuk terus bersatu bagi mengembalikan maruah The Red Devils pada perlawanan seterusnya.