The Reds terus cemerlang memimpin carta Liga Perdana Inggeris dengan mengekalkan momentum kemenangan apabila menang 3-0 ke atas pasukan Burnley di laman lawan. Liverpool cemerlang tidak dibolosi selain tiga gol menerusi Alex Oxlade Chamberlain, Naby Keita dan Mohamad Salah menyaksikan mereka mengutip mata ke-46, 14 mata meninggalkan Manchester City di tangga ketiga.

Ini merupakan kemenangan ke-15 Liverpool daripada 16 perlawanan liga dan mereka kini berada di landasan yang tepat untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak sekian lama.

Persembahan anak buah Jurgen Klopp itu wajar diberikan pujian selepas beraksi mantap dalam setiap aspek. Penguasaan bola jelas ketara dengan 75 peratus penguasaan permainan dan 17 percubaan ke arah gawang. Secara tidak langsung, ini merupakan tonik terbaik sebelum saingan Liga Juara Juara Eropah berdepan Salzburg dengan satu mata diperlukan untuk ke peringkat kalah mati.

Bagi pasukan Tottenham Hotspur pula, kekecewaan tewas kepada Manchester United segera ditebus dengan Burnley menjadi mangsa amukan mereka. Harry Kane kembali mendapat sentuhan jaringan apabila meledakkan dua gol dan satu bantuan gol, selain Lucas Moura, Moussa Sissoko dan gol berkualiti dari Son Heung Min.

Jose Mourinho memuji persembahan bertenaga anak-anak buahnya dan nampaknya beliau juga sedikit demi sedikit sudah menambat hati peminat Spurs yang sebelum ini memberikan reaksi negatif ketika beliau menggantikan Mauricio Pocchettino.

Spurs melonjak ke kedudukan di belakang Manchester United dengan 23 mata, dan situasi ini merupakan tonik penting buat Spurs yang bakal berdepan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara Juara Eropah. Biarpun sudah melayakkan diri ke peringkat kalah mati, kesempatan ini harus dimanfaatkan untuk mengekalkan momentum kemenangan memandangkan Bayern Munich tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Sementara itu, bekas pengendali Spurs, Mauricio Pocchettino, dilaporkan semakin hampir menyertai musuh tradisi Spurs, Arsenal, yang kini terumbang-ambing untuk mencari kemenangan. The Gunners kini dibimbing oleh jurulatih sementara, Freddie Ljungberg.