Bayangan Liverpool yang digeruni kembali terserlah dalam kemenangan ke atas Leeds semalam.

Tiga kemenangan dan satu seri, satu permulaan yang cukup positif buat The Reds, tetapi apa yang lebih memberangsangkan adalah gaya permainan mereka yang menghidupkan semula harapan peminat.

Harapan agar pasukan yang cukup dominan kembali semula ke kancah perebutan takhta, tidak lagi dihantui episod kecederaan dan persembahan hambar.

Menerusi laman sesawang BBC.com, bekas pemain pertahanan kelab tersebut, Stephen Warnock, mengarang satu analisis yang mantap.

Menurut Warnock, kunci kemenangan Liverpool semalam adalah strategi utama mereka untuk mengekang Kalvin Phillips, pemain yang diberikan julukan 'Andrea Pirlo dari Yorkshire', daripada menguasai bola.



Strategi ini disandarkan kepada peranan Thiago dan Harvey Elliot yang melakukan 'high press' berterusan, bergandingan dengan tiga tonggak penyerang untuk membentuk serangan bercabang lima.

Hasilnya, bermula daripada minit ke-15 dan berikutnya, barisan pertahanan Leeds ditekan secara menyeluruh dan menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan bola dari kawasan sendiri.

Gaya permainan sebegini tidak mungkin boleh dilaksanakan tanpa adanya Fabinho yang kembali ke posisi pemain tengah bertahan, posisi paling selesa buatnya berbanding pertahanan tengah yang terpaksa digalasnya pada kebanyakan waktu musim lalu gara-gara krisis kecederaan yang dihadapi Liverpool.

Ketinggian dan kelincahan Fabinho membolehkan dia memintas lambungan bola jarak jauh daripada Leeds dan membenarkan Thiago dan Elliot untuk bergerak ke kawasan lawan dengan lebih bebas tanpa perlu risau akan risiko serangan balas mengejut.

Strategi balas yang digunakan Leeds adalah dengan melakukan kawalan 'man to man' setiap kali mereka kehilangan bola.

Malangnya, strategi itu turut gagal kerana pemain Liverpool ternyata lebih mantap daripada segi kekuatan fizikal di samping kualiti kawalan bola mereka lebih bermutu.

Beralih kepada sudut pertahanan, kepulangan Virgil Van Dijk ternyata memberikan impak yang cukup besar.

Biarpun masih belum cergas sepenuhnya, kehadirannya semata-mata sudah memadai untuk menanam keyakinan dan menyuntik semangat, terutama apabila melibatkan aspek sepakan percuma atau sepakan sudut.

'Raja Mesir' Mohamed Salah pula terus cemerlang di bahagian serangan, dengan gol yang dijaringkannya merupakan gol ke-100 miliknya dalam Liga Perdana Inggeris.


Menurut laporan akhbar Daily Mail, satu-satunya perkara yang mungkin menjadi masalah pada masa akan datang adalah hakikat yang Salah dikhabarkan menuntut gaji baru setinggi £500,000 (RM2.9 juta) seminggu, dua kali ganda lebih banyak daripada Van Dijk ketika ini.

Di kala Manchester United dan Chelsea sedang bergembira dengan pelaburan mereka dalam membeli penyerang-penyerang baru, Cristiano Ronaldo dan Romelu Lukaku yang sudah pun membuahkan hasil, Liverpool nyata selesa dengan Salah yang cukup konsisten dalam membolos gawang lawan selama empat musim berturut-turut setakat ini.

Kita nantikan bagaimana Liverpool menghadapi cabaran terbesar musim mereka setakat ini apabila menerima kunjungan AC Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah minggu depan.

Sementara itu, melihatkan kembalinya Liverpool ke tahap optimum, suntikan nafas baru untuk United serta Chelsea, serta hakikat bahawa Manchester City masih kekal mantap, persaingan EPL musim ini mungkin bakal menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah.