Final Piala Eropah 2005 di Stadium Ataturk, Istanbul pada 25 Mei 2005 akan sentiasa dikenang sebagai sesuatu yang klasik. Kebetulan, ia juga kali terakhir Liverpool merajai bola sepak Eropah.

Milan, pasukan pilihan hangat sebelum sepak mula, mendahului seawal minit pertama menerusi kapten, Paolo Maldini, disusuli gol berganda Hernan Crespo untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0 menuju rehat.

Siapa sangka Liverpool akan bangkit dalam babak kedua. Tempoh enam minit yang dramatik menyaksikan tiga gol daripada Steven Gerrard, Vladimír Smicer dan Xabi Alonso untuk kedudukan terikat 3-3.

Kedudukan itu tidak berganjak dalam masa tambahan dan dalam penentuan sepakan penalti, Jerzy Dudek menyelamatkan sepakan Andriy Shevchenko untuk Liverpool kesudahannya unggul 3-2 dalam kemuncak yang digelar “Keajaiban Di Istanbul”.

Anda telah mendengar dan membaca pemain membincangkan final Liga Juara-Juara 2005 itu tapi bagaimana pula dengan penyokong?

Berikut disorot semula bagaimana penyokong Liverpool dan AC Milan berkongsi memori salah satu malam paling gila yang pernah disaksikan dalam bola sepak seperti yang pernah tersiar dalam majalah FourFourTwo edisi Jun 2015.

Kenali dulu watak-wataknya:

PENYOKONG LIVERPOOL

Frank McGinn
Seorang pemegang tiket bermusim di Anfield sejak 1987. Pernah berada di ruang istirahat pemain bersama John Barnes. Namun, dia tidak bercakap dengan pemain itu.

Ryan Herman
Pertama kali menyaksikan Liverpool bermain ialah di tempat lawan di West Ham pada 1978. Pernah minum bersama Derek B, penulis bersama Anfield Rap.

Les Lawson
Tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan Liverpool di tempat sendiri sejak musim 1976-77. Pengerusi Kelab Penyokong Liverpool yang rasmi.

John Green
Pemegang tiket bermusim di Anfield sejak 1974. Malah, lebih memberangsangkan, dia mewakili kelab itu dalam It’s a Cup Final Knockout pada 1977.

Chris Hughes
Seorang penyokong Liverpool sejak 1982. Di samping kejayaan the Reds, memori terhebatnya ialah bermain satu-dua dengan Ian Rush dalam satu sesi kejurulatihan pada 1983.

Mark Radley
Seorang anak watan Liverpool dan penyokong sepanjang hayat The Reds yang berbelanja besar untuk percutian keluarga di Malta agar isterinya membenarkannya ke Istanbul.



PENYOKONG AC MILAN

Alessandro Ciotti
Seorang penyokong yang kekal setia termasuk pada zaman kegelapan kelab itu – menjadi seorang Milanista adalah satu tradisi panjang keluarganya.

Fabio Conte
Bekas pemegang tiket bermusim Milan yang boleh ditemui dalam setiap perlawanan Rossoneri di tempat sendiri mahupun di tempat lawan di antara 1985 dan 2008.

Oscar Poma
Salah seorang anggota utama Fossa dei Leoni, sebuah kumpulan ultras yang ditubuhkan pada 1968 dan dibubarkan beberapa bulan selepas final di Istanbul.

Elio Cascone
Pemegang tiket bermusim Milan selama 15 tahun walaupun tinggal 500 batu jauhnya di sebuah bandaraya di selatan Itali di Salerno.

Marco Pretti
Salah seorang daripada generasi baru, dilahirkan di Milan dan dinamakan sempena legenda kelab, Marco van Basten. Perlawanan pertama disaksikannya di San Siro ialah pada 2001.

Fabio Disingrini
Di sebalik tidak lagi menjadi pemegang tiket bermusim di San Siro, dia masih tidak dapat membayangkan terlepas menyaksikan perlawanan menentang Inter atau Juventus.

(BERSAMBUNG)