Pep Guardiola barangkali tidak pun berjenaka ketika mengungkapkan semua orang di England menyokong Liverpool… media, malah setiap peminat bola sepak.

Ia dihamburkannya selepas Manchester City membelasah Newcastle United pada 8 Mei lalu untuk membuka jarak tiga mata di atas The Reds dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hanya berbaki satu perlawanan.

Pada detik ini, kelebihan City sudah berkurangan kepada hanya satu mata dan satu lagi kemenangan ke atas Aston Villa di Stadium Etihad, Ahad ini, akan mengesahkan mereka sebagai juara sekali lagi – kali keempat sepanjang lima musim terakhir ini.

Seakan-akan ‘membakar’ lagi keadaan, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pula kelmarin berkata jika dia di tempat Guardiola, dia tidak akan berasakan perebutan kejuaraan sudah berakhir di sebalik pasukannya sendiri memerlukan pelbagai “bantuan” untuk memintas di garis penamat.

Congakan matematiknya mudah.

Liverpool, yang terus menyalakan harapannya hasil kemenangan 2-1 ke atas Southampton kelmarin, masih berpeluang andai mengalahkan Wolves di Anfield, Ahad ini, sambil Manchester City keciciran mata kepada Aston Villa yang dikemudi legenda The Scousers, Steven Gerrard.

“Jika saya berada dalam situasi mereka (City), saya tidak akan berasakan seperti sudah menjadi juara… itulah keadaannya ketika ini,” kata Klopp seperti dipetik laman Sports Illustrated.

“Berada di tangga kedua, anda akan memikirkan tentulah City akan memenangi perlawanannya (dengan Villa). Tapi ini bola sepak. Segala-galanya masih berkemungkinan dan itu sudah mencukupi.

“Ketika City tampil juara (pada 2019) pun, ia hanyalah dengan perbezaan 11 milimeter. Jadi, apa saja boleh berlaku… tidak berkemungkinan tapi boleh berlaku.”



Sports Illustrated harus seperti mengiyakan perkara itu dengan satu artikelnya yang memaparkan tajuk ‘Rekod Aston Villa berdepan Man City tidak akan memberikan Liverpool banyak harapan tapi Coutinho mungkin’.

Kita tanya apakah kebarangkalian untuk City keciciran mata kepada Aston Villa? Jawapannya tidak jika didasarkan kepada rekod beberapa tahun kebelakangan.

City dan Villa telah berdepan sesama sendiri lapan kali sejak permulaan 2016, yang kesemuanya dimenangi The Sky Blues di samping menyumbat 25 gol dan bolos hanya empat.



Dalam pada itu, rekod Gerrard berdepan City ketika zamannya bermain jauh lebih baik. Beraksi 26 kali dalam jersi Liverpool, dia menang 12 daripadanya, seri sembilan yang lain dan tewas hanya lima.

Dan dalam pada Gerrard tidak lagi berperanan di tengah padang, bekas rakan sepasukannya, Philippe Coutinho, yang kini menyarung jersi Villa, mungkin mampu melakukan sesuatu untuk membantu kelab lamanya itu.

Daripada rekod tujuh perlawanannya menentang City, Coutinho menang tiga, seri sekali di samping tewas tiga yang lain. Lebih mengujakan, dia menyumbat lima gol dan satu bantuan jaringan dalam perlawanan berkenaan.

Ditemu bual selepas pertemuan dengan Southampton kelmarin, kapten Liverpool, Jordan Henderson, berseloroh: “Harap-harap Stevie (Gerrard) dan Villa boleh membantu kami di City. Saya harus buat panggilan kepadanya sekarang.”

Liverpool tidak pun perlu diingatkan yang mereka pernah berada dalam situasi ini pada penghujung musim 2018/19. Secara kebetulan juga, The Reds berdepan Wolves dalam perlawanan terakhir. City, yang awalnya ketinggalan satu gol kepada Brighton, kesudahannya menang 4-1 untuk menjulang trofi EPL.

Namun, tidak salah untuk Klopp dan barisan “raksasa mental” yang dikendalikannya, untuk terus berharap.