Liverpool hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris 2019-20 sebelum saingan ditangguhkan akibat Coronavirus.

Bergelar juara atau tidak, ia bergantung kepada situasi yang membolehkan saingan diteruskan atau ditamatkan tanpa mana-mana pemenang.

Namun, setiap pasukan sudah tentu mula mencongak kekuatan skuad masing-masing untuk kempen 2020-21 termasuk pasukan hanya hanya mencatat satu kekalahan musim ni, Liverpool.

Memandangkan nama Sadio Mane mula dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid kerana menarik perhatian pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane, The Reds mula mempersiapkan diri dengan sebarang kemungkinan.

Laporan Danny Gallagher menerusi Mail Online mendakwa pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, telah menghubungi bapa kepada Kylian Mbappe, Wilfried, untuk berbincang mengenai masa depan penyerang sensasi PSG itu.

Le10sport juga melaporkan perbincangan telah diadakan di antara Klopp dan Wilfried untuk sebarang kemungkinan bagi perpindahan musim panas depan tetapi dalam masa sama, juara Eropah itu juga sedar mereka perlu memecahkan rekod dunia sekiranya berminat dengan khidmat pemenang Piala Dunia 2018 itu.

Dinilai sekitar 250 juta Pound sebelum ini, tanda harga Mbappe dijangka menurun ekoran wabak Covid-19 tetapi PSG semestinya tidak akan melepaskan ayam tambatan mereka dengan begitu mudah dan ia diakui Klopp.

"Saya tidak lihat mana-mana pasukan mampu membeli Mbappe daripada PSG ketika ini," kata pengurus itu apabila ditanya mengenai penyerang itu, November tahun lalu.

"Namun, tidak ada sebab untuk menolak keinginan memiliki seorang pemain sepertinya."

Jika perpindahan itu menjadi realiti, semestinya ia sejajar dengan pendapat yang pernah disuarakan Klopp sebelum ini, bahawa kelompok pemain terbaik dunia kini mengidamkan untuk menyarung jersi Liverpool.