Apakah persamaan di antara Gabriel Guerra di JDT dan Liridon Krasniqi bersama Kedah? Kedua-duanya pakar gelecekan yang memukau dan menggamamkan.

Tapi dengan “terjahan terbang dan rempuhan maut” pemain-pemain dalam keghairahan menyekat kedua-duanya dengan apa cara sekalipun, harus Guerra dan Liridon tidak pun akan cergas untuk beraksi sehingga penghujung musim ini.

Rata-rata bola sepak moden hari ini sudah menjadi terlalu teknikal hingga mengorbankan kesenian dan keindahan dalam permainan.

Ia menjadi pencerahan kenapa semakin sedikit pemain hari ini yang memiliki skil individu yang tinggi, dengan pendekatan tendang, kejar dan lari sebagai galang ganti.

Semakin ramai jurulatih juga yang hanya didorong oleh keputusan -- atau lebih tepat lagi kemenangan -- tanpa mengira bagaimana ia diraih.

Dalam mengendur atau melumpuhkan ancaman lawan, tidak hairan jika ada tugasan tertentu buat pemain untuk ayam tambatan lawan dirantai, dicedera atau dikeluarkan.

Malam tadi, umpamanya, kita melihat bagaimana Guerra diterjah – tidak kira dari depan atau belakang – hingga apabila tindakan itu gagal, jersi malah seluarnya turut ditarik dalam memperlahankannya.

Liridon -- terkenal dengan hantaran-hantaran pendek, kuisan mahupun sungkitan -- sudah kerap melambung-lambung dikerjakan pemain lawan. Berkerut muka menahan kesakitan, menggosok-gosok kaki, bangun meneruskan permainan dan sejurus kemudian, terpelanting dikerjakan lagi!

Guerra dan Liridon adalah dua contoh pemain yang membawa bersama mereka nilai hiburan tinggi buat penonton yang membayar untuk terpukau oleh helah tubuh, lentikan badan mengelirukan dan sepasang kaki yang bola seolah-olah terikat pada tali but mereka.

Di seluruh dunia hari ini, desakan semakin lantang agar pengadil dan pembantu pengadil memberi lebih “perlindungan” kepada pemain-pemain seumpamanya agar kesenian dan keindahan bola sepak tidak dikorbankan.

Di Malaysia, ia bukan berkisar kepada Guerra dan Liridon semata-mata atau pada satu tahap yang sama atau cuma sedikit kurang, Mohammed Ghaddar, yang menyumbang hatrik buat Kelantan di Stadium Perak, Rabu lalu, serta Zah Rahan Krangar, perancang utama Felda United.

Malah, ia juga bersabit kepada pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha (Felda United), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Pahang), Farhan Roslan (Kedah), Nazmi Faiz Mansor (JDT), Nazrin Nawi (Perak) – antaranya – yang tidak gentar menggelecekkan pemain lawan dengan skil dan kepantasan mereka.

Kalau ada yang berupaya membuat ‘nutmeg’ – melolosi pemain lawan dengan bola melalui di celah kangkang yang cukup untuk menimbulkan kesipuan – ia adalah antara pemain-pemain berkenaan.

Mereka inilah – malah sebenarnya ada ramai lagi pemain berkemahiran tinggi – yang sering mengundang “ooooh” dan “aaaah” dari teres tempat duduk penonton dan kekaguman peminat yang menonton siaran langsung televisyen – sering dicanangkan oleh Abu Bakar Atan sebagai rangkaian televisyen Media Prima Berhad -- di rumah.

Menjelang Piala Dunia 2014 di Brazil, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menekankan perlunya pengadil dan pembantu pengadil melindungi pemain daripada rempuhan keterlaluan.

“Keselamatan pemain adalah sangat penting, maka pengadil hendaklah membaca situasi dengan cermat dari sepak mula lagi. Jika ada pemain yang melakukan faul yang ganas, ambillah tindakan untuk mengelakkannya berulang,” kata Ketua Jabatan Pengadil FIFA, Massimo Busacca.

“Ada kalanya pemain lupa disebabkan keghairahan. Di sinilah peranan pengadil (dan pembantu pengadil) untuk menghindarkan situasi-situasi yang boleh merosakkan bola sepak.”

Kita pastinya mahu terus melihat aksi menarik dan pertunjukan individu bukan saja daripada Guerra dan Liridon, malah pemain-pemain lain yang ‘sewaktu’ dengan mereka.