Menang -- Tekan butang menang, Kalah -- Tekan butang kalah. Lin Dan mengawal permainan badminton.

Setidak-tidaknya itulah andaian para peminat badminton tentang Super Dan yang telah menjuarai segala-galanya yang ditawarkan oleh dunia badminton.

Andaian ini diperkukuhkan lagi apabila baru-baru ini Lin Dan membalas dendam ke atas pemain muda China, Shi Yuqi, 21-12, 21-11 untuk menempa nama sebagai juara Terbuka Switzerland buat kali ketiga.

Seminggu sebelum itu, peminat badminton dunia terkejut (mungkin ada yang tidak terkejut langsung) apabila Juara Seluruh England enam kali, Lin Dan, ditumpaskan oleh pemain bukan pilihan dan bukan ternama, Shi Yuqi, dalam separuh akhir.

"Tak mungkinlah Lin Dan kalah. Taraf dia memang 'untouchable' dan jauh lebih baik daripada Yuqi," luah Ali Hakim, pemain badminton sosial yang telah mengikuti perkembangan Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei sejak 10 tahun lalu.

Tapi itulah Lin Dan. Dia nak menang -- tekan butang menang. Nak kalah -- tekan butang kalah.

Ramai juga yang berpendapat kem badminton China mempunyai strategi tersendiri untuk membantu pemain muda meningkat naik mengumpul sebanyak mata yang boleh
supaya ranking dunia mereka meningkat.

Yuqi, Juara Remaja Dunia 2014 di Alor Setar, mempunyai ranking pemain nombor 66 dunia pada Mac tahun lalu. Setahun kemudian, selepas menjuarai Kejohanan Siri Super Terbuka Perancis dan naib juara Seluruh England setelah diratah oleh Chong Wei, dia kini di kedudukan nombor 8 dunia.

Seperti dalam artikel menarik rakan setugas Ahmed Shahrazad Sani, 'Chong Wei dan Tiga Generasi Jaguh China Di Seluruh England', Yuqi ialah generasi ketiga perseorangan lelaki badminton China pada era moden ini.

Yang menakjubkan, generasi pertama masih berkuasa -- Lin Dan manakala generasi kedua -- Chen Long sudah pun merasai pingat emas Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Bayangkanlah, apa yang boleh dibuktikan oleh generasi ketiga yang masih berusia 21 tahun -- Shi Yuqi.

Apapun, 'Taiko' Lin Dan masih memegang alat kawalan dan butang permainan badminton.