Musim 2020/21 adalah satu musim yang cemerlang bagi sejumlah pemain bawah 19 di Eropah. Utara England dilanda dentuman kaki kiri Greenwood, Catalonia bernafas semula dengan liuk-lenggok Pedri dan Ansu Fati sementara Jamal Musiala berkembang menjadi harapan terbesar bolasepak Jerman dalam masa kurang 12 bulan.

Masih awal untuk memperkatakan nasib sebilangan besar pemain b19 di Eropah musim ini. Mereka berada di satu jeda masa yang unik - rata-rata ialah pemain yang dianggap terlalu bagus di akademi dan sudah bersedia untuk bola sepak utama. Kita semak lima pemain yang saya jangka akan menjadi ‘wildcard’ dan mampu membuat kejutan musim ini.


1. Kian Fitz-Jim

Bintang Ajax Amsterdam berusia 18 tahun ini merupakan maestro utama bahagian tengah Jong Ajax musim ini. Mampu beroperasi din posisis nombor 6 atau 8, Fitz-Jim boleh dikatakan pemain yang mampu menentukan prestasi pasukannya dalam mengharungi musim panjang di kejohanan UEFA Youth League (UYL) serta Dutch Eerste Divisie.

Pemain dengan gaya rambut afro yang diikat ini saya sifatkan mempunyai gaya permainan yang mirip dengan bintang Chelsea, Jorginho. Ketua Jurulatih Jong Ajax, Joan Heitinga menunjukkan kepercayaan tinggi kepada beliau dengan menurunkan pemain berdarah Belanda-Suriname itu dalam setiap perlawanan kompetitif setakat ini.

Dengan kebiasaan Ajax yang memberi banyak peluang kepada bakat muda di separuh kedua musim, besar kemungkinan kita akan menyaksikan aksi pertama pemain ini bersama pasukan utama di penghujung musim nanti.



4. Brian Brobbey

Satu lagi produk berpotensi besar De Toekomst, Brian Brobbey ialah seorang striker yang mempunyai profil yang kuat ketika remaja. Sehingga pada satu ketika, peminat yang mengikuti pasukan pembangunan Ajax pasti merasa bahawa Brobbey bukan talenta biasa. Sekiranya digilap dengan betul, pasti sinarnya mampu menggegar Eropah.

Dan ternyata tanggapan itu benar adanya, dibuktikan dengan gol di penampilan sulungnya bersama skuad senior di penghujung tahun 2020. Masih berusia 18 tahun ketik itu, Brobbey meledak dalam aksi liga menentang Fortuna Sittard dan seterusnya menjaringkan tiga gol dalam 12 penampilan sepanjang musim.

Harapan penyokong untuk melihat Brobbey terus membela jersi putih merah di Johan Cruyff Arena tidak kesampaian dek kerana tiada kata sepakat dapat dimeterai antara kelab dan kem Brobbey sendiri. Kini, beliau berkelana ke RB Leipzig dengan tanda-tanda awal cemerlang, sudahpun menjaringkan gol dan melakukan tiga penampilan setakat ini.




3. Karim Adeyemi

Sinar pasukan kebangsaan Jerman dalam usaha panjang memburu pemain nombor sembilan kembali berkilau dengan seorang bakat muda dari Munich yang bernama Karim Adeyemi. Pemain angkatan 2002 ini masih berusia 19 tahun, bermain untuk Red Bull Salzburg di liga utama Austria dan sudahpun membuat satu penampilan (dan menjaringkan gol) bersama skuad senior Jerman. Menariknya, Adeyemi juga pernah beraksi dua musim bersama skuad remaja Bayern Munich.

Disifatkan seorang yang pantas menghidu peluang, aspek permainan Adeyemi yang menarik perhatian saya adalah apabila beliau seringkali tahu saat dan waktu yang tepat untuk melakukan tekanan. Hasilnya, pertahanan lawan cenderung melakukan kesilapan dan di situ, pemain setajam Adeyemi akan hadir untuk menghukum.

Dengan tanda nama ‘penyerang dalam pembikinan seterusnya’ selepas Erling Braut Haaland yang juga ‘diasuh’ Salzburg, semua mata pastinya tertumpu kepada perjalanan karier Adeyemi. Pastinya, angin Bavaria bertiup kencang mengaitkan pemain ini sebagai pengganti jangka panjang Robert Lewan-goal-ski. Buat masa ini, kita tunggu dan lihat saja.


2. Harvey Elliot

Mungkin dalam senarai ini, Harvey Elliot adalah pemain yang paling muda, tetapi beliaulah yang paling awal melakukan penampilan senior. Anak muda asal London, Elliot tidak pernah mendapatkan ‘pengajian bolasepak’ di Liverpool, sebaliknya, Queens Park Rangers dan Fulham FC yang membesarkannya. Penampilan pertama beliau adalah di dalam saingan Piala EFL bersama Fulham tahun 2018 silam, ketika masih berusia 15 tahun.

Tiga tahun kemudian di utara England, Elliot menempa nama dan memukau segenap barisan penyokong tegar The Reds dengan aksi memukau sepanjang awal musim 2021-22. Ini adalah tahun ketiga Elliot di Liverpool dan beliau dilihat cukup selesa dengan peranan, tekanan dan tugas yang diharapkan darinya.

Malang tidak berbau, pertembungan dengan Pascal Struijk dari Leeds dalam saingan liga menyebabkannya patah buku lali sekaligus memaksa pembedahan dilakukan. Beliau dijangka terlepas baki saingan musim ini, tapi yang jelas bakatnya sudah dipertontonkan kepada dunia dan harapan semua peminat adalah untuk beliau segera sembuh dan kembali mewarnai pentas bolasepak Inggeris.


1. Ricardo Calafiori

Dari fizikalnya sahaja, kita hampir boleh meneka kalau Calafiori adalah orang Rome sejati; sama seperti seniornya seperti Totti, De Rossi atau bahkan kaptennya sekarang iaitu Lorenzo Pellegrini. Bintang ini juga dengan sensasi pernah menolak tawaran Manchester United dan Juventus, kerana begitu setia dengan Roma.

Aspek kesetiaan itu benar-benar hampir pupus di dalam bolasepak moden yang lebih berpaksikan wang ringgit. Tapi ia tidak mengejutkan, kerana ketika Calafiori mengalami kecederaan lutut yang amat parah, Roma sentiasa menyokongnya dan memberikan sepenuh bantuan untuk beliau kembali.

Kini di usia 18 dan di tahun kesembilannya di kelab tersebut, Calafiori mula mengetuk pintu rejim baru Jose Mourinho. Bakatnya kembali terserlah dan pemain yang dianggap bintang masa depan pertahanan Itali ini sedikit demi sedikit mula memenuhi potensinya. Satu musim yang menarik untuk disaksikan merujuk kepada karier Calafiori.