Sudah lali sebenarnya apabila terdapat pelbagai isu yang berlaku menjelang sesuatu temasya yang besar. Tidak kiralah Sukan Sea, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel atau Sukan Asia.

Kurang daripada sebulan sahaja lagi kita bakal menyaksikan Sukan Asia yang bakal berlangsung di Indonesia. Segala persiapan sudah pun dilakukan.

Tetapi, sedarkah anda tentang pelbagai onak duri yang dilalui kontinjen negara menjelang temasya berprestij ini?

Bermula dengan kes doping yang memalukan skuad angkat berat negara sehingga digantung selama setahun sekaligus tidak dapat menyertai Sukan Asia edisi ini.

Ianya sudah pasti memberi kesan kepada beberapa atlit angkat berat lain yang bersih daripada kes doping tetapi terpaksa menerima tempias sebegini.

Selepas itu, kes merokok melibatkan pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain yang menyaksikan hukuman tegas dikenakan kepadanya iaitu digugurkan daripada beraksi di Sukan Asia Ogos depan.

Tidak cukup dengan kes merokok, negara digemparkan pula dengan kontroversi skuad terjun negara yang tular dengan video berfoya-foya. Satu tamparan hebat untuk mereka sehingga akhirnya mengaku salah dan memohon maaf dalam satu sidang media.

Sementara itu, atlit karate negara, Syakilla Salni Jefri Krisnan pula berdepan dengan masalah disiplin sehingga Persekutuan Karate Malaysia, MAKAF mengenakan 4 hukuman kepadanya. Syakilla bernasib baik kerana masih dikekalkan sebagai pembawa bendera Sukan Asia tahun ini.

Yang paling mengejutkan apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei disahkan tidak akan menyertai Kejohanan Dunia dan Sukan Asia ekoran masalah kesihatan berkaitan pernafasan.

Seluruh peminat badminton tanah air tidak menjangka situasi yang sedang dihadapi oleh Chong Wei tatkala kita begitu menanti aksinya untuk hadiahkan kejayaan buat negara.

Segala apa yang telah berlaku dalam arena sukan negara ketika ini menjelang Sukan Asia seharusnya dilihat sebagai satu pengajaran besar buat semua atlit lain.

Kejayaan di Sukan Asia tetap menjadi keutamaan kita dan teruskan menyokong demi nama negara!