Di kala kebanyakan peminat bola sepak memberikan tumpuan kepada persiapan pasukan-pasukan sebelum sepak mula, khususnya Liga Super, pasukan Liga Perdana juga hangat dengan persiapan menerusi perlawanan pramusim, sama ada di dalam negara mahupun di sekitar negara ASEAN.

Namun, persoalan kini pasukan yang mana boleh diangkat selaku pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan edisi ke-16 itu selepas mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Dua pasukan yang diangkat daripada kejuaraan Liga M3, iaitu Kelantan United dan Kuching FA, dijangka menarik perhatian dengan kehadiran bekas bekas pemain yang sebelum ini pernah beraksi dalam kancah Liga Super mahupun Liga Perdana, antaranya Amiridzwan Taj Tajuddin (Kelantan United) dan Joseph Kalang Tie (Kuching FA).

Lain-lain pasukan adalah UKM FC, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor Darul Ta'zim (JDT) II , Perak II, Selangor II, Terengganu II, Pulau Pinang dan Sarawak United.

Jika dilihat kepada barisan pemain dan persiapan sebelum liga bermula, Kuala Lumpur menduduki carta nombor satu selaku pasukan pilihan.

Hendak atau tidak, kehadiran Shukor Adan dan Indra Putra Mahyuddin di samping Zamir Selamat di gawang gol, dibantu pemain pemain muda skuad yang mendapat sentuhan bintang Hijau Kuning era 90an, Nidzam Adzha Yusof, selaku jurulatih dan Mohamad Ramlee sebagai penolong jurulatih, The City Boys pilihan terbaik juarai liga.

Tetapi persiapan Kelantan juga perlu diberikan perhatian dengan keupayaan menyelesaikan masalah gaji tertunggak, kemudian membawa balik budak Tumpat, Nazrin Nawi, berserta Wan Zaharulnizam Zakaria atau Kecik, dibantu Azrul, pemain yang digugurkan Pulau Pinang, Yusri Che Lah boleh menarik nafas lega seketika selepas ramai pemain sebelum ini takut untuk bersama The Red Warriors.

Pasukan berikutnya yang boleh diletakkan dalam kelompok "Big Four" ialah Pulau Pinang, yang terlepas peluang ke Liga Super musim lalu. Manzoor Azwira Abd Wahid kekal selaku jurulatih, dibantu Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kembalinya Azmi Muslim di samping bekas pemain Selangor, Latif Suhaimi, ada petanda pertahanan Pinang Pinang ada nilai tambah yang baik. Turut akan bersama skuad Pulau Mutiara itu ialah bekas pemain tengah Selangor, Endrik Dos Santos, yang semakin menampakkan keserasian bersama penyerang utama, Casagandre.

Negeri Sembilan melengkapkan empat pasukan yang boleh diangkat selaku pilihan. Musim 2020, skuad Jang itu meletakkan sasaran sebagai dua pasukan teratas.

Bekas pemain pertahanan Johor dan kebangsaan, Sazali Saidon, dilantik selaku jurulatih dengan membawa masuk tujuh muka baru ke dalam pasukan, antaranya Shahrom Kalam dan Shahurain Abu Samah selain mengekalkan Norhafiz Zamani Misbah.

Kemampuan JDT II juga bersama Terengganu II, walaupun selaku pasukan feeder, masih tetap punya bahayanya. Ini kerana dua pasukan ini mungkin boleh menjadi penghalang utama kepada kemaraan pasukan-pasukan yang dianggap pilihan manakala Sarawak United, UKM dan Perak II, walaupun sepi daripada segi persiapan, namun awas ketiga-tiga pasukan ini mungkin boleh mencipta kejutan yang menambah kehangatan liga.

Apapun persepsi mahupun jangkaan, jawapan sebenar adalah di atas padang. Kita mengharapkan aksi Liga Perdana juga akan semeriah Liga Super dengan harapan pemain tempatan dapat mempamerkan kecemerlangan bagi musim 2020.

Selamat berjuang buat semua pasukan yang mengambil bahagian.

Adios!