Menyedari tempoh tajaan dan hak kumpulan Astro selaku pemegang komersial Liga M tamat pada Januari 2015, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil khidmat agensi perunding, Repucom, untuk memberi satu nilai komersial terhadap semua harta intelek milik FAM pada lewat 2014.

Pada 2011, Astro mengambil alih aset tajaan dan hak siaran eksklusif untuk siaran televisyen dan digital dengan jumlah tajaan RM30 juta setahun, tidak termasuk kos produksi.

Ini bermakna Astro menjadi penyiar eksklusif di televisyen dan platform digital selain memegang hak komersial sekali gus.

Dalam proses FAM mencari penyiar lain, tiga pihak membida untuk mendapatkan hak komersial ke atas semua aset FAM.

Media Prima bergabung dengan Telekom Malaysia manakala Astro menjalin usahasama dengan Kumpulan Fox.

Zenith Media dan IMG pula dianggap broker atau orang tengah yang membida hak dengan tujuan menjualnya semula kepada stesen penyiar dan pengusaha platform digital.

Atas alasan mahu menilai secara objektif, FAM mempelawa Repucom yang berpangkalan di Singapura, untuk menganalisis satu unjuran nilai komersial terhadap Liga Super, Liga Perdana, Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan pertandingan All-Stars.

Ini berikutan sentimen sesetengah pemimpin FAM yang mahu semua aset dipulangkan semula kepada badan induk itu. Mereka tidak mahu satu-satu pihak memegang hak, sebagaimana yang dilakukan oleh Astro dari 2011 hingga 2015.

Ada pula yang memikirkan nilai Liga M jauh melangkaui jumlah tajaan RM30 juta setahun, apatah lagi kos FAM, termasuk mengurus semua pasukan kebangsaan, pengendalian liga dan gaji kakitangan, menelan belanja lebih RM60 juta setahun.

Repucom mengambil kira semua aspek dalam membuat unjuran keuntungan buat FAM bagi memudahkan badan induk itu mencari penaja.

Penilaian siaran media mengikut model perniagaan stesen penyiaran yang ada di Malaysia, sama ada stesen berbayar berasaskan langganan mahupun stesen percuma yang mendapat keuntungan daripada pengiklanan.

Repucom turut membuat andaian unjuran hampir 80 peratus perlawanan Liga M disiarkan sekurang-kurangnya sekali bermula musim 2015.

Beberapa angka mengagumkan dijual untuk meyakinkan bos-bos FAM, seperti:

* Jumlah siaran televisyen selama 2,237 jam semusim diperuntukkan menerusi siaran stesen percuma dan berbayar;

* Penilaian hak siaran media adalah RM178 juta setahun;

* Unjuran keuntungan untuk penyiar meningkat daripada RM49 juta pada 2015 kepada RM67 juta pada 2017 berpandukan pendapatan stesen tv satelit dan pengiklanan yang diraih stesen percuma; dan

* Potensi nilai tajaan – menerusi penaja utama dan tiga lagi penaja nasional, dianggarkan RM456 juta sebelum diskaun berpandukan nilai pendedahan media dan nilai tidak dapat dikesan (intangibles).

Tetapi atas sebab syarat-syarat yang terlalu tinggi dan sukar dipenuhi dari sudut teknikal, ketiga-tiga pembida menarik diri.

MP & Silva dibawa masuk pada saat akhir dan memorandum persefahaman yang dimeterai oleh FAM dan firma hak siaran itu pada Januari 2015 bukan saja menganggarkan jumlah tajaan RM1.26 bilion untuk tempoh 15 tahun, bahkan mewujudkan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mengurus harta intelek FAM.

MP & Silva turut menjadi penasihat global kepada FAM dalam menjana keuntungan selain menjadi perunding untuk memilih penyiar rasmi Liga Malaysia pada musim 2015.
Berdasarkan jumlah yang dijanjikan oleh MP & Silva dari tahun 2016 ke 2021, FAM dijanjikan pulangan sebanyak RM70 juta setahun manakala RM85 juta bagi tempoh tiga tahun berikutnya (2022-2024), RM92 juta (2025-2027) dan RM103 juta bagi tempoh tiga tahun terakhir.

Penulis hadir pada majlis itu yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di tengah ibu kota dan melontarkan soalan bagaimana jika MP & Silva tidak dapat menyediakan tajaan RM70 setahun.

Di depan puluhan hadirin waktu itu, penulis bertanya apakah akan berlaku jika FAM tidak dapat memenuhi terma dan syarat-syarat kontrak dengan MP& Silva, sambil memberi contoh tindakan mengejut MP & Silva menamatkan perjanjian dengan Liga Besbol Profesional China untuk mengedar hak siaran hanya enam bulan selepas menandatangani kontrak.

Untuk seketika rasa skeptis penulis bertukar menjadi optimis apabila dimaklumkan bahawa FAM akan membuat keuntungan dalam memastikan proses penswastaan liga berjalan lancar.

Ternyata FAM sebenarnya dikaburi dengan potensi keuntungan atas angin kerana MP & Silva bukanlah penaja tetapi pencari sumber kewangan yang belum pasti.

Sekalipun ada desas-desus menyebut FMLLP ditawar RM45 juta, termasuk sebuah stesen penyiar digital dalam rundingannya, ia ditolak FMLPP yang bimbang Liga M tidak disiarkan di kaca TV.

Kantung FAM dikhabarkan kian terhakis dan simpanan tetap FAM sudahpun disentuh.

Dalam kemelut yang melanda FAM, yang untung adalah agensi-agensi yang sudahpun menerima bayaran rundingan atas kemampuan menyediakan kertas cadangan yang cantik di atas kertas tetapi cacamarba secara realitinya!

Angka yang menakjubkan tidak semestinya mampu diterjemahkan menjadi realiti! Kita lupa bahawa industri penyiaran Malaysia begitu kecil dengan sumber tajaan daripada kelompok industri yang sama.

Oh bola sepak Malaysia!