Dua faktor.

Pertama, Lewis Hamilton berjaya memecahkan rekod Michael Schumacher apabila memulakan perlumbaan di petak pertama sebanyak 69 kali.

Kedua, Lewis Hamilton berjaya menjuarai Grand Prix Formula One di Litar Monza, Itali.


Dua faktor ini adalah punca utama Lewis Hamilton diberikan gelaran “budak jahat” oleh peminat setia pasukan Ferrari.

Hamilton berjaya menaiki podium selaku juara buat kali keenam musim ini dan paling utama, beliau berjaya menghalang pemandu Ferrari dari muncul juara di Litar Monza, Itali.

Pemandu berusia 32 tahun yang memulakan karier 10 tahun lalu pada 2007 bersama McLaren telah muncul juara dunia sebanyak tiga kali ( 2008, 2014, 2015). Selain itu, Hamilton juga merupakan satu-satunya pemandu British yang meraih kemenangan terbanyak dalam perlumbaan Formula One yang disertai dengan 59 kemenangan. Pemandu kelahiran Hertfordshire, England ini turut menjadi pelumba tunggal dengan mata tertinggi sepanjang kariernya dengan 2489 mata perlumbaan.

Kini Hamilton mendahului carta pelumba Formula One di tangga pertama dengan 238 mata, hanya dibezakan 3 mata dengan pemandu Ferrari Sebastian Vettel di tangga kedua, dan Valtteri Bottas di tangga ketiga.yang memiliki 197 mata.

Dengan masih ada tujuh lagi baki perlumbaan untuk musim ini, persaingan untuk muncul juara dunia dijangka sengit buat Hamilton ditambah pula saingan dari pemandu Ferari iaitu Vettel dan Kimi Raikkonen.

Saya yang mengikuti perkembangan Hamilton sejak dahulu lagi percaya bahawa beliau yang merupakan juara dunia Formula One termuda dalam sejarah pada 2008, kini berada di prestasi terbaik untuk muncul juara buat kali keempat. Hamilton juga sering mendapat pujian kerana corak pemanduan yang baik dalam setiap perlumbaan yang disertai.

Saya turut membaca laporan media antarabangsa yang mengatakan bahawa Hamilton selesa dilabel “budak jahat” oleh peminat setia Ferrari namun beliau berharap dapat menukarkan setiap cemuhan menjadi pujian dan sokongan. Ini sekaligus menguatkan spekulasi bahawa “budak jahat “ ini bakal menyertai Ferrari dalam masa terdekat nanti.

Adakah benar Hamilton bakal menyertai pasukan Ferrari? Sama sama kita nantikan apabila saingan Formula One melabuhkan tirainya hujung tahun ini.