Jika wujud persoalan siapa penyerang terhebat di pentas Bundesliga dalam tempoh 10 tahun terakhir ini, mungkin nama Robert Lewandowski menjadi pilihan.

Penyerang Bayern Munich itu meneruskan kesinambungan aksi cemerlangnya daripada musim lalu apabila mencatatkan sembilan gol dalam saingan liga musim ini.

Lebih menarik, jumlah gol tersebut dilakar melalui hanya lima perlawanan sekaligus membuktikan kewibawaannya selaku penggempur utama Bayern dan paling digeruni di Bundesliga.

Sejak hadir ke Allianz Arena daripada Borussia Dortmund pada 2014, penyerang Poland berusia 31 tahun itu telah meraih jaringan ke-200 buat Bayern dalam semua kejohanan sewaktu membantu pasukannya menewaskan Red Star Belgrade di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Memegang status penyerang utama, semestinya Lewandowski mengharapkan usaha kelabnya memacu pasukan ke arah lebih baik dan atas sebab itu, dia mengkritik cara Bayern berusaha untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi cabaran akan datang.

Selepas kehilangan khidmat Arjen Robben dan Franck Ribery sebelum James Rodriguez pulang ke Real Madrid susulan tamat tempoh pinjaman, Lewandowski berpendapat pasukannya memerlukan sekurang-kurangnya tiga muka baru bagi mempertajamkan barisan hadapan.

"Kami sudah kehilangan tiga pemain dan setakat ini, kami belum mendapatkan pengganti yang sebenar di posisi tersebut," katanya.

Luahan Lewandowski itu semestinya melambangkan rasa kecewa memandangkan pihak pengurusan Bayern sentiasa menuntut agar trofi Liga Juara-Juara Eropah kembali dijulang.

Mungkin kehadiran Philippe Coutinho daripada Barcelona secara pinjaman dapat menambah kekuatan bahagian tengah Bayern tetapi seperti apa yang dinyatakan Lewandowski, barisan depan tetap perlu dipertajamkan.

Melihat kepada carta Bundesliga ketika ini, Bayern sememangnya perlu menambah kekuatan pasukan ketika jendela perpindahan akan datang memandangkan RB Leipzig dan Borussia Dortmund begitu serius mahu menamatkan dominasi mereka di Jerman.