Sejak beberapa bulan lalu, bekas Juara Regu WWE Matt Hardy telah memberi bayangan bahawa kerjayanya dalam gelanggang segi empat akan menemui titik penghujung dan telah tiba masa untuk dirinya bersara.

Melalui beberapa ciapan di laman Twitter, bintang berusia 43 tahun itu menyatakan yang tubuhnya seakan tidak mampu lagi menahan azab kesakitan setiap kali bergusti lantaran kondisi tubuhnya yang dibelenggu kecederaan tulang belakang dan pelvik.

Menurut Matt, doktor telah menasihatkan agar beliau menggantung but kerana kedua bahagian penting tubuhnya yang mengalami kecederaan tersebut mula menunjukkan simptom yang kurang memberansangkan, dan boleh melarat kepada kecederaan yang lebih serius sekiranya beliau terus bergusti.

Gerakan signature nya digelar Event Omega yang telah digunapakai sejak awal pembabitannya dalam industri antara penyebab utama kecederaan ini berlaku. Melalui gerakan ini, Matt perlu memanjat tiang paling atas gelanggang dan melakukan jatuhan kaki tepat ke leher mangsa yang terdampar di lantai gelanggang. Malangnya, gerakan berbahaya ini membuatkan bahagian pinggul dan belakangnya mengalami hentakan kuat dan memberi kesan jangka panjang kepada bintang kelahiran Cameron, Carolina Utara ini.



Namun, situasi ini bukan penamat kepada perjalananan karier Matt yang telah bermula sejak tahun 1992 ini. Terbaru, Matt kini diberi amanah sebagai penerbit belakang tabir WWE dan telah menjalankan tugasan pertamanya di acara WWE Summerslam minggu lalu.



Perlantikan Matt ini dilihat amat tepat dan mampu memberikan kelebihan kepada semua pihak. Berbekalkan pengalamannya lebih 20 tahun dalam industri ini, Matt mampu memberikan idea bernas dan buah fikiran berharga dalam memacu produk WWE ke arah yang lebih baik di masa akan datang.

Bukan itu sahaja, Matt juga boleh menjadi mentor kepada bakat-bakat baharu di WWE serta membimbing generasi bintang muda ini dalam usaha menjadi bintang terbaik di masa hadapan. Sebagai antara bintang veteran dan pernah menjadi juara dunia beberapa kali di pelbagai organisasi, sudah tentu segala nasihat dan tunjuk ajar daripada Matt amat didambakan oleh bintang-bintang yang meningkat naik ini, khususnya di NXT.

Matt Hardy atau nama sebenarnya, Matthew Moore Hardy merupakan abang kandung kepada Jeff Hardy. Bersandarkan kepada minat mendalam dalam industri gusti profesional, kedua mereka telah mengasaskan TWF (Trampoline Wrestling Federation) dengan bergusti menggunakan trampoline di belakang halaman kediaman mereka. Aksi-aksi mereka itu kemudian dirakam dan dihantar kepada beberapa sirkit gusti tempatan termasuk WCW (World Championship Wrestling).

Mula menyertai WWE pada tahun 1994, pasangan adik beradik ini bermula sebagai budak belasahan dalam gelanggang. Namun, bersempena dengan bermulanya Attitude Era pada tahun 1998, kedua beradik ini mula menempa nama sebagai jaguh regu muda dan terus menyinar sebagai antara pasangan regu terbaik sepanjang zaman dan merangkul Kejuaraan Regu WWE lebih tujuh kali sepanjang mereka bergandingan.



Setelah beberapa tahun bersama, Jeff dan Matt memilih untuk membawa haluan masing-masing. Keduanya berupaya membuktikan yang mereka mampu menjadi penggusti solo yang hebat sehingga Jeff pernah menyandang Kejuaraan WWE dan Matt pula bergelar Juara ECW pada tahun 2008.

Matt meluaskan lagi legasinya apabila turut bergusti di beberapa pertubuhan selain WWE seperti Ring Of Honor dan Impact Wrestling. Hasilnya, Matt berjaya bergelar Juara Heavyweight Dunia sebanyak 2 kali di Impact Wrestling, menjadikan Matt sebagai antara penggusti yang berada di kelasnya yang tersediri walau di mana pun beliau berada.

Bukan sahaja hebat dalam gelanggang, idea dan kreativiti Matt juga tidak mampu disangkal. Karakter Broken nya yang dimulakan di Impact Wrestling menjadi fenomena. Walaupun ketika itu Matt masih bersama dengan Impact Wrestling, namun para WWE Universe turut terkesan dengan karakter ini dan sering menggunakan slogan Matt iaitu “Delete!” dalam acara-acara WWE.

Kerinduan peminat kepada Matt dan Jeff terubat apabila duo adik beradik ini kembali sebagai kejutan di acara Wrestlemania tahun lalu. Kepulangan mereka tambah manis apabila berjaya merangkul Kejuaraan Regu Raw pada malam yang sama dan berjaya mengekalkan kejuaraan tersebut selama beberapa bulan berikutnya.

Gandingannya dengan bekas musuh ketatnya Bray Wyatt juga memberi impak positif apabila mereka berjaya bergelar Juara Regu Raw sebelum tewas kepada The B Team di acara Extreme Rules pada Julai lalu.



Jatuh bangun Matt sepanjang kariernya menjadikan beliau sebagai antara bintang dan lagenda yang dihormati kawan dan lawan. Walaupun peminat mungkin tidak berkesempatan lagi untuk melihatnya beraksi dalam gelanggang, namun Matt pastinya akan terus memberikan yang terbaik kepada seluruh para peminatnya.

Yang pasti, legasi Matt Hardy sesekali tidak akan terDELETE! dan akan terus mewarnai industri ini untuk beberapa dekad mendatang.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Hell In A Cell pada 17 September depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.