Bukan sahaja pasukan Liga Super, pasukan Liga Perdana juga rancak berbelanja untuk memperkuatkan pasukan dalam menghadapi cabaran getir tahun ini.

Begitupun, tumpuan persaingan kali ini bakal terarah kepada beberapa individu yang akan memberi arahan di tepi padang berbanding kelibat pemain import sebelum ini.

Yang dimaksudkan adalah jurulatih.

Tatkala juara Piala Malaysia 2015 Selangor mendapatkan sentuhan legenda Red Giants Zainal Abidin Hassan, Sarawak dan Perlis pula menagih magis bekas jurulatih negara Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh.

Selepas dua tahun menyepi, Rajagobal kembali ke padang sekaligus membuat kemunculan semula dalam kancah Liga M sejak 2002 bersama pasukan Kelantan.

Keupayaan jurulatih berusia 60 tahun itu tidak boleh disangkal lagi apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Reputasi hebat Rajagobal atau panggilan keramatnya 'King Gopal' kini menjadi sandaran skuad Ngap Sayot untuk menjadi antara pasukan disegani dalam saingan Liga Super musim ini.

Ia seolah menjadi musim yang lebih menarik apabila Dollah turut kembali mengendalikan pasukan tidak sampai beberapa bulan perletakan jawatannya selaku jurulatih Harimau Malaya, September lalu.

Jika nasib jurulatih yang diberi nama samaran 'Pablo Dollah' ini tidak begitu baik ketika membimbing Malaysia, Dollah bagaimanapun cukup menyerlah dalam kancah Liga M menerusi kejayaan ketika bersama MPPJ, Selangor, Pahang dan PDRM.

Justeru, kehadirannya tampak mampu mengembalikan zaman kegemilangan skuad Singa Utara yang akan tampil sebagai pendatang baru Liga Perdana musim ini.

Elemen kontroversi pula menjadikan Zainal sebagai tumpuan bersama gergasi Merah Kuning susulan penghijrahannya dari Pahang ketika jurulatih terdahulu Mehmet Durakovic berjaya melunaskan misi 33 selain mempunyai baki kontrak setahun bersama The Red Giants.

Tiada pilihan, hanya kejuaraan mampu melenyapkan segala kritikan setelah kehadiran legenda jersi nombor 17 yang juga dikenali dengan panggilan Chief ini tidak direstui sesetengah penyokong pasukan itu.

Sememangnya kelibat ketiga-tiga jurulatih berprofil ini amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tanahair yang kini dambakan persaingan lebih hebat bagi musim baru nanti.

Akhir kata, semoga berjaya buat Legenda 17, King Gopal dan Pablo Dollah!