Motivasi Chong Wei cukup tinggi setelah memenangi Terbuka Perancis. Kemenangan ini cukup penting setelah mengalami kemerosotan prestasi dalam beberapa kejohanan sebelum itu. Antaranya tewas di pusingan kelayakan di Terbuka Korea.

Jarang-jarang pemain Malaysia berjaya menakluki Terbuka China selain Wong Choong Hann dan isteri kepada Chong Wei, Wong Mew Choo yang masing-masing menjadi juara pada 2002 dan 2007.

Ramai pemerhati sukan badminton mengatakan kekuatan mental Chong Wei sungguh istimewa. Setelah melalui penggantungan doping dan bekerja keras untuk kembali bermain secara kompetitif bukan mudah.

Hanya atlit yang mempunyai dedikasi, komitmen, berwawasan, displin, kekuatan mental, kesabaran dan semangat tinggi sahaja yang dapat kembali pada tahap tertinggi sukan itu. Ramai yang tumbung.

Tanya kepada pasukan bola sepak kebangsaan. Pasti mereka dapat ceritakan tentang ketahanan mental dalam sukan. Datuk Ong Kim Swee sendiri mengatakan anak buahnya phobia untuk kalah.

Namun, bukan untuk Chong Wei. Setelah kembali beliau menjadi JuaraTerbuka Amerika Syarikat dan selepas itu Canada. Tetapi prestasi beliau turun naik.

Mara ke final Kejohanan Dunia di Jakarta, Chen Long menjinakkan Chong Wei dengan mudah. Para peminat berpendapat, kemungkinan besar idola badminton mereka tidak akan mejadi juara dunia buat selama-lamanya.

Permainan bekas pemain no.1 dunia itu terus merudum di Terbuka Jepun, Terbuka Denmark dan Terbuka Korea.

Namun terbukti, kekuatan mental Chong Wei lain daripada yang lain. Beliau pantas melupakan skrip buruk dan terus positif sehingga menjadi Juara Terbuka Perancis dan seterusnya mencipta sejarah di negara tembok besar China.

Pakar psikologi sukan berpendapat, Chong Wei masih pada prestasi terbaik kerana dapat mengawal mental dari segala sudut terutama di luar dan di dalam gelanggang.

Pada pendapat saya sebagai bekas atlit negara, ada baiknya jika pakar di Institut Sukan Negara merekod pengalaman dan pendapat atlit-atlit cemerlang Malaysia dari segi mental supaya dapat dijadikan rujukan kepada para atlit lain.

Dalam dunia sukan yang cukup kompetitif kini, hanya mereka yang dapat bertahan dan kuat mental akan terus cemerlang.

Chong Wei sudah pasti dalam golongan istimewa ini.