Salam sejahtera.

Kejayaan dua beregu campuran negara mara ke pentas final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Malaysia Masters di Sibu amat membanggakan.

Ia pencapaian yang cukup menakjubkan buat pasangan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing yang muncul juara dan lawan mereka Goh Soon Huat/Shevon Lai yang muncul naib juara.

Paling mengagumkan buat kali pertama sejak Malaysia mula secara serius membentuk gandingan beregu campuran, negara memiliki dua pasangan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Gandingan nombor satu negara dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Chan Peng Soon/Goh Liu Ying berada pada kedudukan keenam dunia manakala Kian Meng / Pei Jing pula di ranking kesembilan dunia.

Tidak terlintas di fikiran peminat badminton satu ketika dahulu bahawa Malaysia akan memiliki dua gandingan campuran yang mampu bersaing dengan pasukan terbaik di dunia.

Sering dianak tirikan dan disisihkan sebelum ini, beregu campuran kini pantas menjadi 'anak emas' Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagi saya, kita harus memberi penghargaan kepada Peng Soon/Liu Ying yang menjadi 'pioneer" dalam acara ini.

Walaupun kerap kali jatuh, tersungkur dan kecewa, pasangan ini sentiasa bangkit kembali dan membuktikan semangat dan kekentalan mereka dengan meraih perak di Sukan Olimpik 2016.

Siapa sangka Malaysia mampu melakukannya dan mereka membuktikan bahawa tiada yang mustahil. Kejayaan Peng Soon/Liu Ying di Rio, menjadi ledakan kepada kelahiran gandingan beregu campuran yang berbakat.

Saya puji semangat yang ditunjukkan Pei Jing. Sering kali bertukar pasangan dan tiada yang tetapi kali ini bersama dengan Kian Meng, dia membuktikan kombinasi yang ampuh.

Walaupun baru digandingkan lebih setahun yang lalu, pasangan ini sudah meraih beberapa gelaran antarabangsa antaranya Masters Malaysia 2017, Terbuka Thailand 2016 dan Terbuka Vietnam 2016, selain mara ke final Terbuka Taiwan 2016 dan Masters Indonesia 2016.

Selain itu percaturan yang dibuat barisan jurulatih negara di bawah kendalian Pengarah Teknikal BAM Morten Frost nampaknya bahasil.

Saya harapa kombinasi yang ada ini akan terus meningkatkan persembahan mereka terutama dalam mencapai gandingan campuran yang lebih handalan.

Kita harus menjadikan kejayaan di Masters Malaysia ini untuk meneruskan kesinambungan dalam pembentukan gandingan yang mantap.

Tiada perlu lagi harus ada rasa kerdil dalam diri pemain. Peng Soon/Liu Ying sudah membuktikannya dan kini mereka sendiri berdepan dengan cabaran sihat daripada rakan sepasukan.

Kini laluan terbentang luas kepada kombinasi campuran ini untuk merebut pelung yang terhidang.

Saya berharap mereka akan berjaya dan pastinya selepas kejayaan Peng Soon/Liu Ying, peminat badminton negara dambakan kejayaan dan kegemilangan berterusan.