Jika anda bukan penyokong Perak, anda pasti akan "berbulu" dengan perwatakan Leandro Dos Santos ketika pemain itu menentang pasukan anda.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu cukup mahir dalam memberikan gangguan emosi, bukan sahaja buat pemain lawan tetapi buat penyokong mereka juga.

Jika tersentuh sedikit, maka bergulinglah dia lalu meratapi nasib sambil mengharapkan empati daripada pengadil.

Jika diusik rakan sepasukannya, maka bersiaplah dia untuk membuka langkah dan "menerkam penjenayah" yang mencetuskan onar itu.

Leandro merupakan pemain kelahiran Brazil dan pernah beraksi bersama beberapa kelab kecil di negaranya.

Dia kemudian berkelana ke Thailand pada 2010 sebelum menyertai T-Team (kini Terengganu FC II) pada 2014.

Sepanjang tempoh itu, pencapaian terbaiknya hanyalah membantu Bangkok Glass muncul naib juara Piala FA Thailand pada 2013.

Namun, mungkin menyedari kelemahan rakyat Malaysia dalam pengurusan stress dan menangani provokasi, Leandro mengeksploitasi kekurangan itu untuk menjuarai Piala Malaysia pada 2015 dan 2018.

Dia juga bakal menjulang Piala FA musim ini, andai membantu Perak menewaskan Kedah dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Lebih menarik, senarai kejayaan itu hadir ketika dia bersama pasukan yang tidak menjuarai saingan liga.

Buat pemain Kedah yang akan turun ke Bukit Jalil bagi aksi final, ini sedikit saranan daripada tonggak import Pahang, Herold Goulon -- walaupun dia sendiri gagal menyekat pemain itu ketika Tok Gajah dibelasah Perak 3-0 dalam separuh akhir kedua.

"Dia seorang yang bijak.

"Dia tahu apa yang sedang dilakukannya.

"Sudah pasti dia amat menjengkelkan di atas padang, namun jika anda mengenalinya, anda tidak perlu melayaninya dan biarkan sahaja dia keseorangan begitu.

"Saya tidak perlu bercakap banyak mengenainya.

"Bagi saya, dia seorang pemain yang bagus," katanya selepas secara tidak sengaja menjaringkan gol dari jarak 55 meter dalam separuh akhir pertama yang dimenangi Pahang 3-1.

Walaupun kelihatan amat keji di mata penyokong lawan, gaya permainan Leandro itu amat jelas membantu pasukannya.

Perkara itu cukup disedari Mehmet Durakovic, yang terus memberikan kepercayaan buat pemain itu ketika menjulang Piala Malaysia bersama Selangor pada 2015, sebelum mereka mengulanginya bersama Perak tahun lalu.

Bak kata wartawan "otai" Stadium Astro, Azizan Hashim, Leandro menggunakan kepakarannya itu untuk "memusnahkan" pasukan lawan.

Sudah pasti kita akan dapat melihat satu lagi aksi liciknya dalam final 27 Julai ini.

Maka, bersiap-sedialah pemain dan penyokong Kedah untuk menghadapi situasi itu.