Bekas pemain pertahanan Manchester United Laurent Blanc dikhabarkan bakal menjadi pilihan utama untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan Barcelona, selepas pengendali semasa Quique Setien dilihat gagal mengemudi kelab dengan baik. Media antarabangsa melaporkan Pengarah Sukan Barcelona, Eric Abidal sudah memulakan proses 'merisik' Laurent Blanc yang sedang berehat panjang selepas kali terakhir membimbing PSG pada 2016. Blanc menolak banyak tawaran dari kelab-kelab ternama eropah namun tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke arena bola sepak.

Beberapa pemerhati bola sepak menegaskan Blanc merupakan calon paling sesuai membimbing Barcelona kerana mempunyai ideologi dan pemahaman bola sepak yang amat bersesuaian dengan The Catalan. Hubungan baik antara Eric dan Blanc mungkin boleh menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi Blanc untuk membimbing Barcelona. Biarpun terdapat gossip yang mengatakan presiden kelab, Josep Maria dikatakan lebih gemar memilih Ronald Koeman sebagai pengendali baru. Secara peribadinya, penulis lebih gemar jika bekas pemain ‘Xavi’ kembali sebagai pengurus pasukan.

Kegagalan mempertahankan kejuaraan La Liga, menyaksikan Quique Setien tidak mempunyai pilihan lain selain muncul juara Liga Juara Juara Eropah andai mahu mengekalkan jawatan di Nou Camp. Tetapi penulis tetap merasakan, jodoh beliau dengan Barcelona mungkin tidak panjang kerana prestasi Barcelona yang semakin merudum di bawah bimbingan Quique Setien menyaksikan pihak pengurusan sudah mula berkira-kira mahu mencari pengendali baru untuk musim hadapan. Kemelut yang melanda semakin serius apatah lagi apabila heboh di media sosial bahawa ada pemain yang tidak mahu bekerjasama dengan corak latihan yang diterapkan Setien.

Penulis merasakan, Barcelona bukan sahaja harus menukar jurulatih baru, tetapi mereka juga perlu mendapatkan beberapa pemain muda baru dan mengenepikan beberapa pemain senior yang sudah ketandusan idea. Corak permainan The Catalan kini dilihat sedikit merudum, bahkan ayam tambatan mereka, Lionel Messi juga sudah mula mengalami kejatuhan prestasi. Alang-alang nak kan pembaharuan, apa salahnya buat betul betul kan?