Pasukan Hoki Remaja Wanita Argentina berjaya menjadi Juara Hoki Piala Dunia Remaja Wanita di Santiago, Chile apabila menewaskan juara bertahan, Belanda, 4-2 baru baru ini.

Kejuaraan ini adalah Kejuaraan kedua buat Argentina selepas tahun 1993 di Terrassa, Sepanyol. Mereka menewaskan Australia di perlawanan akhir 3-1.

Hoki Wanita di Argentina sememangnya begitu cemerlang berbanding dengan skuad lelaki mereka. Buat pasukan senior, mereka memenangi Piala Dunia dua kali, iaitu pada edisi 2002 dan 2010. Mereka berada di kelompok empat teratas sebanyak sembilan kali dari 13 Piala Dunia.

Apakah rahsia mereka sehinggakan mereka lebih berjaya selain Belanda dengan pasukan wanita Australia, Jerman, England, Belgium di mana pasukan lelaki negara ini begitu gah di arena antarabangsa.

Sejak Piala Dunia senior wanita pada tahun 1974, mereka telah layak ke perlawanan akhir dan untuk pasukan remaja dunia pula di Piala Dunia Remaja kedua pada 1993 mereka keluar sebagai Juara.

Mereka mencipta sejarah mereka tersendiri dengan menjadi pasukan wanita pertama di Argentina untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik setelah berjaya memenangi pingat perak di Sydney 2000.

Luciana Aymar, siapa yang tidak kenal di Argentina mahupun di arena hoki antarabangsa. Mewakili skuad wanita Argentina sebanyak 376 cap antarabangsa dan telah menjaringkan 162 gol dari tahun 1998 sehingga beliau bersara pada tahun 2014.

Sejarah demi sejarah beliau cipta untuk negara dan peribadi. Beliau satu-satunya pemain hoki di hunia yang telah dinobatkan Pemain Terbaik Dunia sebanyak lapan kali. Sehinggakan pada tahun 2008, Persekutuan Hoki Dunia memasyhurkan beliau sebagai legenda hoki dunia sepanjang zaman.

Di Argentina, mereka membandingkan beliau dengan legenda bola sepak dunia, Diego Maradona. Oleh itu, beliau juga telah diberi gelaran "La Maga" (The Magician) dan "The Maradona of Field Hockey".

Bukan pemain legenda sahaja yang mereka hasilkan, tetapi mereka juga mempunyai jurulatih-jurulatih yang mempunyai sentuhan Magis. Antaranya Carlos Retegui yang berjaya memenangi Piala Dunia bersama pasukan wanita dan memenangi emas bersama skuad lelaki Argentina di Olimpik Rio baru baru ini. Beliau juga adalah jurulatih pertama dalam dunia yang menjadi jurulatih pasukan lelaki dan wanita serentak di Piala Dunia 2014 di Utrecth, Belanda. Bukan calang-calang jurulatih yang mampu berbuat demikian.

Begitu juga dengan Sergio Vigil, seorang lagi jurulatih Las Leonas yang membawa mereka memenangi Piala Dunia Wanita 2002 dan juga memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004.

Apakah rahsia mereka ini?

Selepas meraih Kejohanan Remaja Dunia ini dan ditambah dengan pencapaian cemerlang pasukan senior wanita mereka, amat jelas hoki wanita Argentina sememangnya menakjubkan dan berada dalam kelompok kelas mereka tersendiri.

Terdetik juga dihati saya apakah kita tidak mahu cuba melihat kepakaran yang boleh membantu jurulatih-jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan kita yang kini menanam impian untuk beraksi buat pertama kalinya di Piala Dunia Wanita 2018 dan seterusnya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti.

Atau pun mencari jalan untuk kita mendapatkan rahsia-rahsia serta formula-formula tentang bagaimana mereka boleh secara konsisten menggegar hoki dunia selama ini.