K. Ramasamy tiba awal di Stadium Arena, Universiti Malaya, dengan siap memakai seluar pendek dan baju T tanpa lengan.

Dia sudah memasang nombor penyertaan '8500' sejak meninggalkan rumah di Kelana Jaya.

"Kena siap awal, nanti tidak kelam-kabut," katanya.

Dari jauh saya melihat kelibat Ramasamy memanaskan badan. Dia memang membuat persiapan awal untuk menyertai Kejohanan Olahraga Antarabangsa Masters Terbuka Malaysia 2019, saingan yang menghimpunkan deretan bekas jaguh kebangsaan.

Sempat juga saya bersembang dengan bekas Raja Pecut Sukan SEA 2003, Nazmizan Mohamad, dan pemenang emas lompat kijang Sukan SEA 1997, Zaki Sadri, mengenai Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), 30 Jun ini.

Namun, kelibat Ramasamy sentiasa bermain di fikiran.

Saya turun ke trek menuju ke meja pendaftaran peserta.

"Panggilan untuk K. Ramasamy, final 100m kategori 65 tahun ke atas," umum juruhebah kejohanan.

Saya dan jurukamera terus berpatah balik ke garisan penamat, bersiap-sedia untuk merakam aksi Ramasamy.

"Ke garisan, sedia....bammmmm!".

Tiga pelari meluru pantas, meninggalkan Ramasamy seawal 30 meter pertama.

Tetapi penonton mula bangun dari tempat duduk masing-masing.

"Lari Uncle...lari..." jerit penonton.

Ramasamy fokus dan mengekalkan rentak larian untuk menamatkan saingan dengan masa 16.60 saat -- catatan yang baik untuk seseorang yang berusia 85 tahun!

"Saya bangga dapat sertai kejohanan ini. Saya gigih berlatih sejak dua minggu lalu dan gembira kerana berjaya menamatkan larian," katanya.

Saya bertanya mengenai rahsia dia menjaga kesihatan: "Saya makan apa saja, roti canai atau nasi lemak.

"Tetapi saya menjaga tiga perkara penting, iaitu tidak merokok, minuman alkohol dan tidur paling lewat 10 malam."

"Saya juga menjalani hidup yang gembira bersama isteri dan anak-anak," kata bekas kakitangan Lembaga Peperiksaan Malaysia ini.

Saya tersenyum sepanjang temu bual bersama Ramasamy.

Dia patut menjadi contoh kepada rakyat Malaysia bagaimana untuk mengawal keseimbangan di antara pekerjaan dan keluarga untuk hidup dalam kegembiraan.

Memetik komen pelari maraton tertua dunia, Fauja Singh: "Apa yang memanjangkan umur saya ialah tidak ego dan tamak."

"Kerajaan beri saya pencen, baki daripada perbelanjaan, saya dermakan kepada rumah kebajikan. Ketika berada di India, ada pihak berminat menjadikan kisah hidup saya sebagai filem mereka.

"Tetapi saya menolak. Semua orang kenal dan menghormati saya. Umur saya panjang kerana diet kasih sayang dan penghormatan ini," kata Fauja, 108 tahun.