Liverpool mengikat pemain sayap berbangsa Jepun, Takumi Minamino, selepas bersetuju dengan perjanjian bernilai £7.25 juta (RM39 juta) untuk membawa pemain itu daripada pasukan Bundesliga Austria, RB Salzburg.

Pemain berusia 24 tahun itu akan menyertai skuad The Reds berkenaan apabila jendela perpindahan pemain dibuka Rabu ini.

Dan untuk meraikan kedatangan pemain Asia itu ke Liga Perdana Inggeris (EPL), laman sesawang givemesport.com menyenaraikan lapan pemain Jepun lain yang pernah beraksi dalam liga divisyen utama England itu.


8. Kazuyuki Toda - Tottenham Hotspur

Toda hanya bermain sebanyak empat kali untuk Spurs ketika dipinjam daripada Shimizu S-Pulse pada 2003.

Mungkin tidak ramai yang mengenalinya melainkan penyokong setia pasukan London itu.

Rating: 1/10


7. Yoshinori Muto - Newcastle United

Muto tiba di England pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu tetapi tidak memenuhi potensi seperti yang diharapkan.

Dia hanya beraksi sebanyak 17 kali dan menjaringkan satu gol.

Dia masih bersama Newcastle tetapi amat-amat jarang diturunkan.

Rating: 2/10


6. Ryo Miyaichi - Arsenal, Bolton Wanderers, Wigan Athletic

Miyaichi menyertai Arsenal dengan sambutan hangat pada 2011.

Bagaimanapun, dia hanya melakukan satu penampilan dalam EPL buat skuad The Gunners itu.

Namun, dia melakukan 16 penampilan dalam liga divisyen utama itu ketika dipinjamkan ke Bolton Wanderers dan Wigan Athletics.

Dia merupakan pemain terbaik bulanan Bolton pada Februari 2012 tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan sepanjang tempohnya di England.

Rating: 3/10.


5. Hidetoshi Nakata - Bolton Wanderers

Tidak dapat dinafikan, Nakata merupakan pemain Jepun paling terkenal dalam eranya.

Dia pernah mewakili banyak kelab Serie A dari 1998 hingga 2005.

Tahun terakhirnya selaku pemain profesional dihabiskan untuk mewakili Bolton.

Dia melakukan 21 penampilan dan menjaringkan satu gol ketika Bolton menamatkan EPL di tangga kelapan pada 2006.

Nakata kemudian melakukan kejutan apabila mengumumkan persaraannya pada usia 29 tahun.

Rating: 5/10


4. Junichi Inamoto - Arsenal, Fulham, West Brom

Inamoto menyertai Arsenal secara pinjaman daripada Gamba Osaka pada 2001 tetapi gagal menempa nama di Highbury.

Dia kemudian dipinjamkan kepada Fulham dan memenangi Piala Intertoto pada 2002.

Dia kemudian menyertai West Brom secara tetap, namun tidak pernah menjelmakan impak seperti yang diharapkan

Rating: 6/10


3. Shinji Kagawa - Manchester United

Prestasi Kagawa sewaktu bersama Borussia Dortmund sebelum berpindah ke Old Trafford merupakan penanda aras tertinggi buat seluruh pemain Jepun yang beraksi di Eropah.

Kariernya bersama United tidaklah begitu menyerlah tetapi dia merupakan pemain paling berjaya berbanding yang disenaraikan sebelum ini -- memenangi EPL pada 2013 dan menjaringkan enam gol.

Kagawa hanya bertahan selama dua tahun sebelum United menjualnya kembali kepada Dortmund tanpa sebarang keuntungan.

Rating: 6/10


2. Maya Yoshida - Southampton

Yoshida menyertai Southampton pada 2012, tahun yang sama Kagawa tiba di United.

Ketika Kagawa tidak bertahan lama di England, Yoshida melengkapkan 150 penampilan EPL bersama pasukan itu.

Tiada pemain Jepun lain yang pernah melakukan lebih banyak penampilan berbandingnya dalam liga divisyen utama England itu.

Rating: 7/10


1. Shinji Okazaki - Leicester City

Okazaki adalah pemain Jepun paling berjaya dalam EPL.

Sama seperti Yoshida, dia telah melakukan lebih daripada 100 penampilan dalam EPL tetapi itu hanya sebahagian daripada kisahnya.

Okazaki merupakan watak penting ketika Leicester melakukan keajaiban dengan menjuarai EPL musim 2015-16 -- tahun pertamanya bersama pasukan itu.

Dia menjaringkan lima gol -- termasuk satu jaringan akrobatik ke atas Newcastle -- dan kerjasama dan etika kerjanya amat 'menjadi' bersama Jamie Vardy.

Rating: 9/10