Tanpa berselindung, kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, kelmarin satu kehilangan besar buat seluruh penyokong bola sepak Kedah dan warga Kedah keseluruhannya.

Siapa yang selalu turun ke Stadium Darulaman sebelumnya pasti sering melihat Almarhum yang merupakan peminat nombor satu pasukan Kedah.

Sumbangan dan jasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah amatlah besar terhadap pembangunan dan bola sepak di Kedah.

Paling gemilang tentunya kejayaan merangkul “double treble” pada 2007 dan 2008 di mana pasukan Kedah pada waktu itu dinaungi Almarhum Tuanku.

Pada waktu itu, Kedah dibimbing Azraai Khor Abdullah, yang turut melahirkan rasa simpati di atas kemangkatan sultan kesayangan mereka.

Laporan akhbar tempatan memetik Azraai Khor menganggap Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai seorang yang sangat ramah dan merendah diri apabila berbicara dengan pegawai dan pemain-pemain Kedah.

Selain itu, Almarhum Tuanku turut sering menjadi tunjang motivasi kepada pemain-pemain apabila turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan Kedah.

Kemajuan pembangunan bola sepak Kedah yang ditunjangi Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sejak dahulu memang tidak boleh disangkal lagi.

Selain melahirkan pemain-pemain berkualiti, anak jati Kedah turut sama membarisi senarai pemain yang mewakili negara sama, ada skuad belia mahupun skuad senior.

Jadi, diharapkan pegawai dan pemain-pemain kini perlu meneruskan kecemerlangan pembangunan bola sepak di Kedah biarpun tanpa Almarhum Tuanku dan juga seorang lagi legenda yang mempunyai wibawa, iaitu, arwah Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.

Dengan Kedah akan berdepan Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2017, anak-anak buah Nidzam Adzha Yusoff tentunya mahu mencipta kemenangan yang boleh dijadikan sebagai pemangkin semangat sebelum aksi suku akhir kedua di Stadium Darulaman nanti.

Walau apa pun keadaannya kini, penulis turut merafak sembah takziah di atas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang penulis ibaratkan sebagai seorang raja berjiwa rakyat dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi.