Tottenham Hotspur bakal bertandang ke Old Trafford, Sabtu ini, dalam usaha untuk merebut kedudukan kedua liga selepas terikat 20 mata bersama Manchester United.

Naib juara liga musim lalu itu kini mula menampakkan taring dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim 2016/17 selepas memenangi empat perlawanan terakhir liga, termasuk membelasah Liverpool 4-1, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, skuad kendalian Mauricio Pochettino itu dikejutkan daripada lamunan indah apabila West Ham United bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menundukkan Spurs 3-2 dalam saingan Piala Liga, awal pagi tadi.

Kekalahan itu pastinya memberikan tamparan hebat buat Tottenham, lebih-lebih lagi mereka perlu berdepan pasukan yang sedang “terluka’ selepas tewas mengejut 2-1 di Stadium John Smith, Sabtu lalu, sekaligus menjanjikan ujian getir buat Pochettino.



Jose Mourinho, yang lantang mengkritik persembahan anak-anak buahnya ketika bertemu Huddersfield Town, pasti sedang merangka taktikal ampuh dalam usaha mengembalikan Red Devils ke landasan kemenangan walaupun dia mula berpandukan corak bertahan, terutama ketika bertemu Liverpool (seri 0-0) dan ketika menentang Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang menyaksikan United menang 1-0.

Buat Pochettino, percaturan merehatkan penyerang utama, Harry Kane, nyata memakan diri sendiri apabila ketajaman barisan serangannya hanya bertahan dalam 45 minit pertama sebelum dikaburi oleh dua jaringan Andre Ayew dan gol kemenangan oleh Angelo Ogbonna ketika bertemu West Ham United.

Kenyataan pengendali Manchester City, Pep Guardiola, yang menyifatkan Spurs sebagai “Pasukan Harry Kane” baru-baru ini mungkin ada benarnya kerana jika dilihat pada prestasi Tottenham musim ini, lapan daripada 19 jaringan Spurs adalah daripada penyerang England itu.



Dalam saingan UCL, metafora itu semakin kukuh apabila Kane menjaringkan lima gol daripada tujuh jumlah keseluruhan selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan yang dilalui. Jadi, seandainya Kane direhatkan atas sebab kecederaan, kemarau gol mungkin boleh terjadi.

Pastinya jika senario itu terus berlaku, ia bakal menjadi masalah besar buat Pochettino kerana dua penyerang yang bersedia menjadi pengganti Kane, Son Heung-Min dan Fernando Llorente, jelas belum mampu menggalas tanggungjawab itu.

Rekod Kane menentang United sejak tiga musim lalu juga tidak begitu memuaskan selepas sekadar menjaringkan satu gol daripada enam pertemuan, iaitu ketika perlawanan terakhir di White Hart Lane, 14 Mei lalu.



Tatkala United dilihat bergelut dengan prestasi dalam empat perlawanan terakhir (dua menang, satu seri dan satu kalah), seharusnya Spurs perlu menggunakan peluang itu sebagai titik permulaan untuk menjarakkan diri dalam kedudukan selain terus menghambat City di puncak liga.

United tidak konsisten pada musim lalu tetapi berjaya memberikan kejutan dengan menewaskan Chelsea 2-0 ketika ramai peminat bola sepak menjangkakan skrip 4-0 dalam perlawanan pertama bakal berulang.

Justeru, pertemuan Sabtu ini tentunya menimbulkan dua persoalan utama. Sama ada Kane akan beraksi dan meneruskan aksi cemerlangnya atau taktikal Mourinho bakal menjerut leher Pochettino.