Itu yang boleh saya simpulkan buat ketika ini mengenai penganjuran oleh tuan rumah Indonesia di Kejohanan Pencak Silat Dunia edisi ke 17 ini.

Hari kedua kejohanan berlangsung tampak tidak terurus dari segi masa disebabkan banyak perlawanan terpaksa ditangguhkan sehingga ada perlawanan yang sepatutnya selesai pada hari pertama, dibuat pada keesokannya.

Hal ini menyebabkan acara sesi pagi kategori silat olahraga Putera dan Puteri terpaksa dimulakan pada waktu petang manakala perlawanan yang dijadualkan pada sesi petang turut diheret ke jangka masa yang lama.

Bagi para media, sudah menjadi perkara biasa buat kami yang membuat liputan di lokasi untuk menunggu. Namun, bagaimana pula dengan atlit?

Ketua jurulatih silat negara, Nasri Nasir menyifatkan isu sebegini tidak mustahil akan terjadi dalam mana-mana kejohanan. Tetapi tidak menolak, ia sedikit sebanyak menjejaskan momentum pesilat-pesilta yang telah pun bersedia dari awal pagi namun terpaksa menunggu terlalu lama untuk beraksi. Mereka tidak mengeluh, hanya berharap ia patut berlangsung dengan lebih teratur seperti edisi lalu di Phuket, Thailand.

Walaubagaimanapun, jurulatih itu sentiasa mengingatkan anak buahnya untuk bersedia akan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku dan hasilnya, mereka tetap memberikan yang terbaik di gelanggang.

Seperti dijangka, Mohd Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir tepati ramalan untuk melepasi pusingan awal dengan mudah bagi ke pusingan seterusnya.

Apa-apa pun, diharap atur cara perlawanan untuk hari seterusnya dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Masih ada 3 hari sebelum perlawanan berakhir iaitu pada 8 Disember ini.

Sama-sama kita berikan sokongan buat pesilat-pesilat Malaysia yang bakal mengharumkan nama negara di pentas dunia itu. Emas pasti dalam genggaman!