Sudah lebih daripada satu bulan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memasuki era kepepimpinan baharu.

Sedikit demi sedikit, pelbagai pembaharuan dapat disaksikan peminat bola sepak tanah air sama ada ia mendatangkan kesan positif mahupun negatif.

Namun, masih ada persoalan yang kini mungkin meresahkan peminat iaitu siapa individu yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan skuad senior kebangsaan.

Tidak lama selepas pelantikan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebagai Presiden FAM yang baharu, baginda telah mengilhamkan beberapa perubahan, antaranya kedudukan ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Datuk Ong Kim Swee, yang memegang jawatan itu sebelum ini "turun" pangkat ke skuad bawah 22 tahun, menggantikan Frank Bernhardt.

Ketika itu bekas pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez, menjadi calon pilihan begitupun hasrat untuk melihat beliau mengemudi Harimau Malaya tidak dapat direalisasikan.

Malah langkah untuk mengambil jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, sebagai pembantu jurulatih juga menimbulkan tanda tanya selepas kegagalan untuk memikat Gomez dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan.

Senario ini cukup berbeza dengan negara jiran, Thailand, yang sudahpun mengesahkan pengendali kelahiran Serbia, Milovan Rajevac, sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan mereka.

Pemilihan Rajevac dibuat dalam tempoh hampir sebulan selepas Kiatisuk Senamuang mengumumkan peletakkan jawatan apabila menunjukkan persembahan hambar dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Sementara itu, di Malaysia, selepas sebulan kedudukan ketua jurulatih itu "dikosongkan", kita masih menanti siapa yang akan menerajui "kerusi panas" itu.

Penulis tetap optimis siapa jua pilihan FAM pastinya mempunyai kaliber yang diharapkan namun faktor masa mungkin akan menjejaskan individu berkenaan untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Ini kerana dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bakal diharungi dan itu sudah pasti akan menjadi indeks prestasi utama (KPI) buat ketua jurulatih negara mengenai kemampuannya untuk membina semula pasukan kebangsaan.

Sama-sama kita nantikan, mungkin ada kejutan terhadap pengumuman ketua jurulatih baharu Harimau Malaya.