Ini merupakan kali pertama saya membuat liputan untuk Sukan Malaysia, SUKMA di Sarawak edisi kali ini. Persoalan pertama yang muncul di fikiran saya adalah hebat sangat ke atlet-atlet muda di SUKMA ni?

Jawapannya adalah, Ya! mereka hebat! Kenapa hebat? Hebat daripada segi kerjasama, pengorbanan, air mata kegembiraan, air mata kekecewaan, dan segala jenis perasaan yang ada bukan sahaja kepada atlet, malah kepada kita sendiri yang menyaksikannya.

Pada 19 Julai, sebelum bermulanya secara rasmi temasya SUKMA ini, beberapa acara telah pun berlangsung terlebih dahulu seperti gimrama dan juga acara berbasikal.

Berbeza sebenarnya perasaan bila dapat menyaksikan atlet-atlet muda yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah dan ada yang berumur seawal 11 tahun.

Kenapa saya katakan berbeza? Sebab jarang saya dapat melihat atlit yang begitu kecewa selepas gagal merangkul emas menangis semahunya seperti anak kecil yang mahu dipujuk oleh ibunya.

Situasi itu saya lihat sendiri sewaktu acara gimrama diadakan pada 19 Julai yang lalu di mana salah seorang atlet negeri Perak gagal memberikan penamat sempurna menangis sejurus selesai acara.

Ramai juga yang memberi perhatian kepadanya dan ketika inilah peranan jurulatih digunakan sebaik mungkin untuk memujuk anak muda ini.

Waktu itu, saya terfikir inilah fasa pertama yang mereka perlu hadapi sebelum melangkah lebih jauh dalam arena sukan. Menangislah semahunya anak muda, kerana selepas ini pasti anda akan lebih kuat untuk terus berdepan liku-liku yang ada dalam bidang ini.

Jauh beremosi, tetapi lain pula dengan acara berbasikal ini. Perasaan risau, gementar, sakit juga dapat saya rasakan untuk mereka.

Apa tidaknya, dengan cuaca yang tidak menentu pagi dan petang, dengan jarak yang begitu jauh perlu mereka lalui untuk rebut pingat emas, ada antara pelumba Terengganu mengalami kekejangan yang teruk selepas tamat acara.

Menariknya, yang menanggung kesakitan lepas berlumba tu siap menang pingat emas pulak. Fuh, rasa kejang, rasa sakit waktu berlumba, tapi mampu lagi raih pingat emas. Lain macam hebatnya atlit muda ni. Ini kita panggil, semangat tak putus asa demi negeri!

Apa-apa pun, masih lagi ada acara yang belum selesai perlu mereka habiskan sebelum tamatnya temasya di Sarawak kali ini. Siapa yang bakal jadi juara keseluruhan jadi persoalan utama ketika ini. Sama-sama lah kita tunggu.