Penyerang berusia 26 tahun, Alexandre Lacazette, yang menyertai The Gunners dari pasukan Lyon berazam mahu menempa nama di Arsenal seperti yang dilakukan Thierry Henry.

Anak jati Lyon itu yang baru berpindah ke Emirates menjadi pemain pertama Arsenal dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL) yang meledakkan tiga gol dalam tiga perlawanan di laman sendiri yang mana kali terakhir ianya dilakukan Brian Marwood pada 1988.

Biarpun saingan liga baru bermula, namun Lacazette dilihat cepat menyesuaikan diri dengan suasana di England selain mudah memahami corak permainan rakan sepasukan di atas padang. Itu menjadi faktor utama mengapa beliau dipilih berada dalam kesebelasan utama mengenepikan rakan senegara, Olivier Giroud.

Empat gol dalam 420 minit permainan merupakan satu permulaan yang baik buat Lacazette yang memiliki susuk tubuh kecil kerana di EPL, fizikal merupakan salah satu faktor yang amat penting. Laporan di dada akhbar turut melaporkan bahawa beliau sangat gembira beraksi buat Arsenal selain mahu mengikuti jejak langkah seniornya Thierry Henry yang merupakan lagenda agung bagi The Gunners.

Keinginan Lacazette itu turut mendapat sokongan dan pujian dari pengendali Arsenal, Arsene Wenger yang berharap agar penyerang itu berjaya mencipta rekod atau sejarah baru yang mampu menjulang Arsenal. Wenger juga berpendapat andai kecemerlangan di atas padang mampu diteruskan, tidak mustahil nama Lacazette akan meniti dibibir setiap penyokong The Gunners.

Penulis sendiri turut mengikuti perkembangan Lacazette yang mana beliau merupakan penjaring kedua terbanyak di Ligue 1 untuk musim 2016/17 dengan 28 gol dibelakang Edison Cavani. Beliau turut berada di tangga kedua senarai penjaring bagi musim 2015/16 dengan 21 gol dibelakang Zlatan Ibrahimovich.

Penulis percaya sudah tiba masa buat pemain kebangsaan Perancis ini mengorak langkah ke hadapan dan berhenti menjadi nombor 2, sebaliknya bertukar menjadi no 1 pula agar cita-citanya mahu dijulang seperti Henry menjadi kenyataan.