Kyrie Irving mungkin merupakan pekerja separuh masa termahal di dunia apabila menerima lebih daripada 33 juta USD setahun setelah menandatangani kontrak 4 tahun bersama pasukan Brooklyn Nets pada musim 2019/20. Adakah pelaburan Brooklyn Nets menggajikan pemain yang hanya boleh bermain pada perlawanan luar daripada bandaraya New York, serta beberapa kawasan yang tidak menolak penglibatan pemain yang tidak memiliki suntikan vaksin itu berbaloi?

Kyrie Irving yang mula dibenarkan bermain sejak bermulanya kalender baru 2022, telah menyarung uniform pasukan Brooklyn Nets 7 kali daripada 13 perlawanan yang telah dimainkan oleh mereka dan dijangka akan terlepas perlawanan sengit menentang bekas rakan sepasukannya di Cleveland Cavaliers, yang mewakili pasukan Los Angeles Lakers yang bakal berkunjung ke Barclays Center, Brooklyn pada awal pagi rabu.

Dalam 7 perlawanan yang dimainkan oleh Kyrie Irving, Brooklyn Nets telah memperoleh 4 kemenangan dan telah kalah 3 kali. 2 daripada kekalahan itu datang daripada kunjungan mereka ke Hemisfera Barat negara Amerika Syarikat. Namun, dalam kunjungan itu Kyrie Irving telah menjaringkan lebih daripada 20 mata dalam ketiga-tiga perlawanan yang dimainkan menentang pasukan Western Conference liga NBA. Ia bukanlah mudah buat seorang pemain bola keranjang yang telah lama meninggalkan aksi bola keranjang kompetitif untuk bermain dan menjaringkan mata sebanyak itu, tetapi pemain berkredibiliti tinggi seperti Kyrie Irving itu telah membuatkan perkara itu tampak mudah melalui pergerakan lincahnya di atas gelanggang bola keranjang.



Kyrie Irving telah menjaringkan lebih daripada 20 mata dalam 6 daripada 7 perlawanan yang dimainkannya, namun hanya gagal menjaringkan jumlah yang sama menentang Chicago Bulls yang menyaksikan dia menamatkan perlawanan dengan kutipan hanya 9 mata, namun Brooklyn Nets masih berjaya merekodkan kemenangan di bandar Chicago itu. Perlawanan menentang Chicago Bulls pada 13 Januari itu juga menyaksikan minit permainan terendah buat Kyrie Irving dengan hanya meluangkan 25 minit di atas gelanggang bola keranjang. Dalam 6 perlawanan yang lain, Kyrie Irving diberi lebih daripada 32 minit permainan oleh jurulatih Brooklyn Nets, Steve Nash yang juga pernah bermain posisi point guard.

Secara purata, Kyrie Irving telah menjaringkan 23.4 mata buat pasukan Brooklyn Nets sepanjang 7 perlawanan yang telah dimainkan olehnya. Dia juga telah membuat 5.1 assist dan 4.9 rebounds sepanjang tempoh itu. Steve Nash telah memberi peluang kepada Kyrie Irving untuk menebus dirinya apabila membenarkan Kyrie Irving mengambil secara purata 19.3 percubaan sepanjang 7 perlawanan itu dan tiada kejutan, Kyrie Irving masih membuktikan kehandalan dirinya apabila menyudahkan 50.4 peratus daripada percubaan itu.



Sepanjang perlawanan bulan Januari setakat ini, pasukan Brooklyn Nets telah meraih 6 kemenangan dan 4 daripadanya adalah hasil bantuan pemain separuh masa mereka, Kyrie Irving. Kecederaan pemain utama Nets, Kevin Durant telah meletakkan harapan Brooklyn Nets untuk meraih kemenangan dan melayakkan diri ke peringkat playoffs ke atas Kyrie Irving untuk mendukung mereka. Tetapi Kyrie Irving bukanlah harapan utama pasukan itu kerana dia hanya dibenarkan bermain di kawasan yang tidak menolak penglibatan pemain yang tidak memiliki suntikan vaksin dan malang sekali pasukan Brooklyn Nets bertapak di daerah Brooklyn yang mengikut undang-undang bandaraya New York yang tidak membenarkan penglibatan individu yang tidak menerima suntikan vaksin untuk melakukan aktiviti seperti menyertai kejohanan bola keranjang di bandar itu. Kelibat pemain All-Star, James Harden kini tampak mustahak untuk mendukung pasukan Brooklyn Nets sementara Kevin Durant mengambil masa untuk melakukan rehabilitasi daripada kecederaan lutut yang dialaminya dan sepanjang perlawanan tanpa kehadiran Kyrie Irving. Berbaloikah pasukan Brooklyn Nets menggajikan lebih daripada 136 juta USD sepanjang 4 tahun untuk Kyrie Irving? Jawapannya HANYA BERBALOI sekiranya pasukan Brooklyn Nets menjulang kejuaraan liga NBA pada penamat musim ini.