Sedikit kesilapan yang dilakukan pemain tengah Malaysia memberi ruang kepada Edgar Bernhardt untuk mengawal bola dengan selesa dan dapat memalingkan badannya melihat ke arah gol Malaysia sebelum melepaskan rembatan padu itu memberi ruang kepada Kyrgyzstan untuk mendahului Malaysia melalui jaringan Sagynbaev Bekzhan pada minit ke-67 apabila rembatan Edgar itu ditampan dan terbias tepat kepada Bekzhan yang dengan tenang menolak ke dalam gawang Malaysia untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dan jaringan itu juga yang mengesahkan kemenangan Kyrgyzstan.

Secara keseluruhan anak-anak buah Tan Cheng Hoe telah menunjukkan permainan yang positif dengan mengekalkan falsafah permainan yang diinginkan jurulatih itu. Bermain secara ‘buildup attack’ dengan hantaran-hantaran pendek dan bergerak secara berpasukan memberi keyakinan kepada mereka untuk menekan lawan.

Gandingan di bahagian hadapan di antara Norshahrul Idlan Talha dan Zaquan Adha Abd Radzak semalam begitu serasi namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang.

Namun untuk pada masa akan datang Tan Cheng Hoe perlu memperbaiki sedikit bahagian pertahanan di mana pemain-pemain pertahanannya perlu lebih berani mengambil risiko apabila berhadapan dengan pasukan yang memberi tekanan awal melalui penyerang.

Daripada segi taktikalnya pemain-pemain pertahanan perlu menolak pemain tengah ke dalam kawasan lawan supaya ruang yang ditinggalkan itu boleh digunakan untuk memulakan serangan.

Kombinasi dan persefahaman yang ditunjukan oleh pemain-pemain Malaysia pada perlawanan semalam begitu baik sekali walapun ada sedikit tidak konsisten dalam aspek tumpuan tetapi ia masih ada ruang dan masa untuk diperbaiki. Kekalahan ini juga memberi ruang kepada pemain-pemain untuk menilai kembali kesilapan-kesilapan mereka dan perbaiki sebelum berhadapan dengan perlawanan seterusnya menentang Maldives nanti.