Impak pandemik COVID-19 bukan sekadar melumpuhkan sukan dunia dengan kerugian berjuta-juta pendapatan menerusi penangguhan atau pembatalan acara, malah ia mampu memberikan tekanan yang amat dahsyat kepada mereka yang terlibat.

Tidak perlu menjadi mangsa positif COVID-19 atau mereka yang diletakkan dalam senarai kontek, selebriti sukan berprofil tinggi yang kurang sensitif dengan isu babitkan wabak pembunuh ini juga berdepan kecaman hebat seperti yang sedang dihadapi pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker.

Permohonan maaf kerana melanggar perintah berkurung di England juga menyaksikan Walker berdepan tindakan disiplin dari pengurusan kelab yang sebelum ini aktif memberikan sokongan kepada Pusat Kesihatan Nasional dan barisan hadapan.

Jika berlandaskan situasi membabitkan Kapten Aston Villa, Jack Grealish yang menerima hukuman pemotongan gaji selama 2 minggu dimana wang tersebut didermakan kepada badan kebajikan Birmingham, Walker mungkin berdepan hukuman lebih keras kerana parti seks yang turut menjemput dua pelacur kelas atasan itu adalah anjurannya sendiri.

Memiliki pendapatan tinggi dan tidak berpeluang menyelami kehidupan masyarakat normal mungkin menjadikan Walker kurang sensitif kepada kepentingan perintah berkurung yang menyaksikan England kini berada di kelompok 10 negara teruk terjejas COVID-19.

Tahap sensitiviti lebih tinggi mungkin didukung pengamal perubatan dan kesihatan yang faham keseriusan COVID-19 seperti doktor kepada kelab bola sepak Ligue 1 Perancis, Reims, Bernard Gonzalez yang dikatakan tewas dengan tekanan yang dibawa wabak berbahaya di dunia ini.

Menurut laporan akbar Perancis, Le Parisien, Gonzalez bertindak membunuh diri selepas beberapa ketika menjalani isolasi atau tempoh pengasingan di rumah bersama isterinya ekoran disahkan positif COVID-19.

Perancis merupakan negara kelima teruk terjejas COVID-19 dengan kini memintas China yang merupakan pemula kepada virus dari keluarga koronavirus ini, menerusi lebih 8,000 kematian.

Berdasarkan keperibadian terpuji Gonzalez dan prinsipnya sebagai pecinta sains, jika benar dia membunuh diri sekali pun, penjelasannya hanya satu - dia tidak mahu menjadi penyambung kepada rantaian COVID-19.