Tatkala skuad kebangsaan berjuang mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Piala Suzuki AFF 2018, kemelut dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tampak bertambah rumit dengan mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan sebahagian kelab gabungan persatuan itu pada 8 November.

Sememangnya penulis sedih, kelab gabungan yang menentang pucuk pimpinan FAS yang diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap menganjurkan EGM ini meskipun baginda tidak memberikan restu ia diadakan.

Kini, penulis berharap Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk segera memberi kepastian sama ada EGM pada 8 November itu sah atau tidak.

Penulis percaya PJS akan memberi kata putus sewajarnya dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum memberi kata putus berhubung EGM 8 November lalu.

Bagi penulis, 52 kelab yang menentang pucuk pimpinan FAS kini bukan saja tidak menghormati Tengku Amir sebagai Presiden persatuan itu, malah juga kedudukan baginda sebagai Raja Muda Selangor.

Penulis percaya, rata-rata peminat setia Selangor menyokong pucuk pimpinan Tengku Amir dan perubahan yang ingin dilaksanakan dalam FAS.

Jadi penulis hairan, mengapa 52 kelab yang menentang itu tetap mahu melakukan EGM?

Apakah hanya kerana enggan kehilangan kuasa dalam FAS serta tidak gembira dengan perubahan yang dilakukan persatuan itu kini?

Jika ya, ia bererti 52 kelab gabungan itu tidak mengutamakan kepentingan bola sepak negeri Selangor dan hanya pentingkan diri sendiri.

Ketika sidang media pada 9 November lalu, Tengku Amir mengesahkan tidak akan melayani tuntutan 52 kelab yang menentang itu selepas dua kali cubaan baginda untuk mengadakan pertemuan menyelesaikan isu ini tidak diendahkan mereka.

Penulis amat berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan 52 kelab
gabungan yang menentang itu berlapang dada serta menerima perubahan yang ingin dilaksanakan Tengku Amir.

Seperti yang disarankan mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Tengku Amir perlu “hands on” dalam pentadbiran FAS.

Penulis percaya Tengku Amir sememangnya “hands on” dan ia terbukti dengan pendekatan proaktif yang diambil baginda dalam menangani kemelut FAS kini.

Cuma, untuk menjadi sebuah kelab ampuh dan berjaya seperti Johor Darul Takzim (JDT), Tengku Amir perlu mempunyai kuasa mutlak di FAS seperi mana Tunku Ismail di JDT.

Selepas isu dalaman FAS ini selesai, penulis berharap Tengku Amir dan pucuk pimpinan persatuan itu akan mengkaji semula statut mereka.

Penulis berasa, statut sedia ada mungkin perlu sedikit penambah baikan dalam usaha FAS membawa bola sepak Selangor ke aras lebih tinggi selepas ini.